KOTA TINGGI - [VIDEO] Seorang pemandu lori maut selepas terhempap 'bucket' lori yang dipercayai mengalami masalah hidraulik ketika sedang membetulkan kenderaan tersebut di Felda Lok Heng Selatan kira-kira jam 12 tengahari tadi.

Mangsa, Mazlan Abu Bakar, 49 dipercayai cuba melepaskan diri selama 10 minit selepas 'bucket' berkenaan terturun secara sendiri namun tidak berjaya.

Kejadian itu kemudiannya disedari salah seorang anaknya yang ketika itu berada di dalam rumah sebelum meminta bantuan orang ramai.

Isterinya, Roha Md Taib, 47 berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menghadiri program di dewan serbaguna kampung.

Katanya, dia segera balik selepas dihubungi anaknya yang memintanya pulang tanpa memberitahu kejadian sebenar yang berlaku.

"Masa anak hubungi saya suaranya agak lain, masa tu dia minta saya balik cepat. Saya memang rasa tidak sedap hati macam ada sesuatu yang berlaku di rumah.

"Sebaik sampai rumah saya lihat orang ramai sedang bantu suami sebelum bawa suami menaiki kereta mendapatkan rawatan di klinik desa di mana ketika itu suami masih sedar.

"Saya turut menemaninya menaiki ambulans untuk dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT). Sepanjang jalan saya dengar dia merintih menahan kesakitan. Namun tidak lama kemudian dia menghembuskan nafas terakhir ketika belum sempat kami sampai di hospital," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Unit Forensik HKT, sebentar tadi.

Tambahnya, suaminya sudah lama bekerja sebagai pemandu lori buah sawit dan sering membetulkan sendiri lorinya itu di rumah.

Malah katanya, dia juga sempat menemani suaminya itu membeli barang lori semalam di Johor Bahru.

"Pagi tadi dia sempat ajak saya keringkan baju di dobi dekat Bandar Penawar tetapi saya tak dapat ikut.

"Selepas pulang dari dobi dia terus buat kerja betulkan lorinya. Arwah tidak ada menunjukkan sebarang perubahan kerana arwah seorang yang gemar bergurau.

"Lebih sedih arwah tiada apa-apa penyakit. Tak sangka dia akan pergi dengan cara ini. Namun kami reda dengan ketentuan Tuhan,"katanya lagi.

Jelasnya, jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Lok Heng Selatan selepas asar.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihak polis menerima laporan kejadian itu pada jam 12 tengahari.

"Mangsa bekerja sebagai pemandu lori dan lori berkenaan adalah miliknya. Mayat mangsa dibawa ke HKT untuk bedah siasat," katanya.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU GAJAH - Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Lama Siputeh - Pusing pagi tadi.
  • TAIPING - Seorang jurutera lelaki warga Korea maut selepas kereta dipandunya terperosok di bahagian belakang sebuah lori di KM226.1 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) berhampiran susur keluar kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Bukit Gantang, pagi tadi.
  • KUALA LANGAT - Dua kanak-kanak dan dua warga emas maut dalam kebakaran membabitkan kediaman mereka di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, di sini awal pagi tadi.
  • SITIAWAN - Seorang lelaki warga Nepal maut selepas terlibat dalam satu pergaduhan sebelum dia dihumban rakannya dari tingkat tiga Hostel Green Prospect yang terletak dalam sebuah kilang pembuatan sarung tangan di Kampung Acheh, di sini, semalam.