JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 6 Johor Bahru (DM6) menyelamatkan seorang kru kapal warga Filipina yang dipercayai terminum cecair penghakis (thinner) ketika berada di perairan 4.7 batu nautika, Barat Daya Tanjung Piai, dekat sini pagi tadi.

Pengarah Maritim Daerah Johor Bahru, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.10 pagi tadi oleh kapten Kapal New Caeser dan pemeriksaan awal mendapati mangsa, Peter JR berusia 42 tahun berada dalam keadaan lemah.

Katanya, ketika kejadian kapal berkenaan yang berdaftar di Hong Kong dalam perjalanan belayar dari Singapura menuju ke Arab Saudi sedang berada di luar sempadan Malaysia dan memohon memasuki perairan negara bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

"Kapal berkenaan berada di kedudukan 01 11.6U 103 28.6T iaitu lebih kurang 4.7 batu nautika Barat Daya perairan Tanjung Piai dan memohon untuk memasuki perairan negara untuk pertemuan dengan aset Maritim Malaysia dan mengambil mangsa tersebut.

"Sejurus menerima maklumat itu, kita telah menggerakkan aset Bot Kilat 18 ke lokasi kejadian bagi misi bantuan kecemasan di laut dan bot tiba ke lokasi pada jam 2.05 petang dan keadaan laut ketika itu dilaporkan dalam keadaan bergelora," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Nor Adli berkata, mangsa segera dipindahkan ke Bot Ronda Maritim dan dibawa ke Jeti Sungai Pulai pada jam 2.45 petang untuk di hantar ke Hospital Colombia Asia Gelang Patah bagi mendapatkan rawatan seterusnya.

ÔÇťOrang ramai disaran menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Daerah Maritim Johor Bahru di talian 07-2199496 / 010-3211066 untuk sebarang aduan kesalahan atau jenayah di laut," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :