SHAH ALAM – Marina Mahathir melahirkan kekesalan di atas apa yang berlaku terhadap program Nothing To Hide 2 yang tercemar selepas adegan baling kerusi dan botol air ketika Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bapanya sedang mendengar soalan daripada peserta.

Menerusi akaun Twitternya, Marina turut menanyakan soalan kepada  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berhubung insiden yang berlaku.

Marina berkata, mengapa hingga berlaku ‘samseng’ yang menyerang bapanya.

Katanya, serangan yang berlaku itu ditujukan kepada Mahathir yang kini berusia 92 tahun.

Beberapa minit selepas itu Marina memuat naik satu lagi status berkaitan ibunya, Tun Dr Siti Asmah Ismail dengan berkata, ibunya sudah tidak mampu melihat dengan jelas.

Dengan apa yang berlaku, pekikan orang menjerit pasti boleh membuatkan beliau pengsan.

Tidak terhenti di situ, Marina memuat lagi satu status mengenai adab orang Melayu yang membenarkan seorang tua diserang.

“Adab Melayu apa yang membenarkan serangan atas orang tua? Perangai macam ni, diajar oleh siapa? #kurangajar,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Adegan baling kerusi, suar cemar Nothing To Hide 2.0]

Terdahulu, kekecohan tercetus ketika seorang peserta mengajukan soalan kepada Mahathir mengenai tragedi memali yang berlaku ketika zaman pemerintahan bekas perdana menteri itu.

Program Nothing To Hide 2 berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia & Kebudayaan Selangor, Shah Alam anjuran Armada Malaysia iaitu sayap pemuda Bersatu.

Insiden itu juga menyebabkan program yang pada awalnya dijadualkan tamat pada jam 6 petang terpaksa dihentikan terus oleh pihak penganjur.

Nothing To Hide 2 ini juga memperlihatkan kehadiran Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selain Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain.

Program Nothing To Hide 2.0 yang sepatutnya mempertemukan Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pentas tidak menjadi kenyataan apabila kelibat pemimpin nombor satu negara itu tidak kelihatan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Umno Cheras melahirkan kekesalan atas tindakan aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir ekoran kehadirannya berhimpun...
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.