SABAK BERNAM - Sebuah keluarga etnik Rohingya di sini, hanya mampu berdoa kepada ALLAH SWT agar serangan ganas terhadap komuniti Rohingya di Myanmar dihentikan segera.

Faridah Abdul Rahim, 27, berkata, dia menitiskan air mata setiap hari apabila mengikuti perkembangan semasa masyarakat minoriti Islam Rohingya yang dipukul, diganggu, diperkosa, dibunuh dan rumah mereka dibakar.

Menurutnya, kekejaman yang dilakukan Kerajaan Myanmar tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia.

“Kami tak tahu sampai bila penindasan tersebut dapat dihentikan, sedangkan setiap hari ada saja peristiwa sedih yang menimpa saudara Islam kami di sana.

“Bayangkanlah saudara kita dibunuh ketika sedang solat, ini tindakan tak bertamadun, membunuh sesuka hati orang yang tak bersalah,” katanya.

Faridah berkata, konflik di wilayah Arakan hanya mampu dipulihkan menerusi campur tangan kuasa besar dunia di Myanmar.

“Saya rayu semua negara agar dapat bersatu membantah kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya.

“Cukup-cukuplah apa yang dilakukan kepada kami selama ini, janganlah terus seksa dan tindas masyarakat kami sedemikian rupa,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Mohd Hussin Nizamudin, 27, turut berkongsi rasa sedih terhadap apa yang berlaku di negara kelahirannya itu.

Katanya, dia sendiri pernah merasai kekejaman dilakukan tentera Myanmar ketika baru menginjak usia remaja.

“Saya pernah dipukul dan diseksa pihak tentera di sana. Sampai sekarang kesan lebam di kepala masih dirasai.

“Masa saya berumur 4 tahun, mak saya dibunuh dengan kejam. Perbuatan mereka sangat tidak berperikemanusiaan, seolah-olah nyawa manusia tiada nilai,” katanya.

Katanya, dia dan adiknya, Muhammad Saddam, 24, terpaksa menempuh perjalanan berbahaya ke negara ini kira-kira 13 tahun lalu.

“Bapa kami kemudiannya diculik tentera Myanmar. Kami hilang tempat bergantung dan terpaksa cari jalan keluar untuk teruskan kehidupan lebih baik.

“Sampai hari ini, kami tak tahu sama ada ayah masih hidup atau tak. Saya harap dapat dipertemukan semula dengan ayah, kalau bukan di dunia, mungkin kami dapat berjumpa di syurga nanti,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KULAI - “Betapa pilunya hati saya selepas mendapat khabar dua adik lelaki saya ditembak oleh tentera Myanmar yang zalim di Arakan pada bulan lepas,” cerita Mohamed Shafie Habe, 56.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.