PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan naib juara program  Ummah (PU) musim kedua, PU Faiz, supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada  pertuduhan mencederakan seorang penceramah wanita pada September tahun lalu.

Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili PU Faiz, 28, atau nama sebenarnya Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli membuat permohonan itu atas alasan pegawai penyiasat kes itu tidak bersungguh-sungguh untuk melengkapkan kertas siasatan.

"Dengan ketidaksungguhan pegawai penyiasat, ia juga menggambarkan sifat prejudis terhadap pihak pembelaan dalam kes ini, oleh itu saya mohon agar anak guam dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan ini," kata peguam itu.

Peguam itu membuat permohonan itu selepas dimaklumkan pihak pendakwaan masih belum menerima laporan penuh perubatan daripada Jabatan Rekod Perubatan, Hospital Sungai Buloh.

Majistret, Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah bagaimanapun menolak permohonan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya akan membuat susulan berhubung laporan perubatan itu.    

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Azlan Mohd Nasir memaklumkan permohonan untuk rekod penuh perubatan telah dihantar ke hospital itu sejak 6 Oktober tahun lalu namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

Sehubungan itu mahkamah menetapkan 3 Februari depan untuk sebutan akhir kes itu.

Pada 7 November lalu, PU Faiz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Nurul Intan Sakinah Azmi, 29, disebabkan kemarahan, di pondok Rumi Sufi Jawi, No 14-3, Tingkat 2, Seksyen 8/4, Seksyen 8, Kota Damansara, pada 2.30 petang, 26 September 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, mahkamah turut dimaklumkan representasi dikemukakan Nurul Intan Sakinah Azmi, 30, berhubung pertuduhan menceroboh pusat tahfiz sama, ditolak oleh Jabatan Peguam Negara pada 27 Disember tahun lalu.

Dia yang diwakili peguam Siti Nadiah Skh Saad memfailkan representasi tersebut pada 29 November 2016.

Pada 8 November tahun lalu, Nurul Intan yang merupakan ibu tunggal empat anak didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki premis milik PU Faiz yang digunakan sebagai tempat pusat pengajian agama Islam di Pondok Rumi Sufi Jawi itu pada waktu dan tarikh sama.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Penceramah wanita yang didakwa menjadi mangsa pukul naib juara program Pencetus Ummah musim kedua, Ahmad Faiz Hafizuddin, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menceroboh sekolah tahfiz milik Ahmad Faiz atau lebih dikenali PU Faiz.
  • PETALING JAYA - Naib juara program Pencetus Ummah musim kedua, Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang penceramah wanita.