KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan enam pihak lagi gagal membatalkan saman yang dikemukakan keluarga penyiasat persendirian mendiang P. Balasubramaniam, A Santamil Selvi dan tiga anaknya kerana mendakwa mereka kehilangan pendapatan dan terpaksa menjalani kehidupan dalam buangan di India selama lima tahun sejak 2008.  

Hakim Datuk Hue Siew Kheng menolak saman tersebut selepas mendapati ianya dikemukakan melebihi tempoh masa yang dihadkan.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang bertindak bagi pihak perdana menteri dan isteri memberitahu pemberita, mahkamah juga menolak saman tersebut kerana ianya mempunyai merit untuk didengar dan ianya perlu diputuskan melalui perbicaraan penuh.

"Mahkamah juga mengarahkan defendan membayar kos sebanyak RM2000 setiap seorang kepada plaintif," katanya.

Nor Hazira berkata mahkamah turut menetapkan tarikh 16 Mac untuk pengurusan kes itu.

Selain Najib dan Rosmah, mahkamah juga menolak permohonan enam individu tersebut iaitu dua adik Najib, Datuk Ahmad Johari Tun Abdul Razak dan Datuk Mohd Nazim Tun Abdul Razak; peguam, Tan Sri Cecil Abraham dan anaknya, Sunil Abraham; Pesuruhjaya Sumpah, Zainal Abidin Muhayat; dan peguam M. Arunampalam.

Pada 10 Ogos tahun lepas, kesemua defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman atas alasan plaintif tidak mempunyai locus standi dan tidak mempunyai kausa tindakan munasabah untuk memfailkan tindakan saman tersebut selain mendakwa saman itu adalah remeh, menyusahkan dan merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 2 Disember 2015, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan empat beranak itu untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan notis rayuan mereka pada 24 April tahun sama.

Mahkamah Tinggi kemudian membatalkan saman berkenaan pada 11 Disember 2014.        

Pada 13 Julai 2017, Santamil Selvi dan bersama tiga anaknya, B. Kishen, B. Menaga dan B. Reeshi sekali lagi memfailkan saman bagi pihak mendiang dengan menamakan kesemua individu sama sebagai defendan bagi menuntut kerugian yang ditanggung mereka sepanjang berada di Chennai, India selama 56 bulan dari 4 Julai 2008 sehingga Balasubramaniam, 53, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013.    

Dalam pernyataan tuntutan, Santamil Selvi juga mendakwa anggota keluarganya secara salah dibuang ke luar negara selepas pendedahan Balasubramaniam berkaitan dua akuan berkanun dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.   

Mereka memohon ganti rugi berjumlah hingga RM840,000 termasuk kos menyewa sebuah apartmen di Chennai, India, yuran sekolah, dan kehilangan pendapatan sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua tidak boleh terus menerbitkan sebarang kenyataan dan klip video yang memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan memantau dan memastikan bantuan banjir sampai kepada mangsa di Sarawak.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan selamat maju jaya kepada atlet luncur ais negara, Julian Yee Zhi-Jie dan atlet luncur salji, Jeffrey Webb yang bakal beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang, Korea Selatan dari 9 hingga 25 Februari ini.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kerajaaan Malaysia gagal dalam permohonan untuk menangguhkan pemfailan pernyataan pembelaan masing-masing.