PUTRAJAYA - Bekas Presiden Badan Peguam Malaysia Datuk S. Ambiga kalah dalam permohonannya untuk mendapatkan lampu hijau daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu berhubung keputusan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang melarang beliau daripada memasuki Sabah pada November 2014.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop, yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, sebulat suara menolak permohonan Ambiga bagi kebenaran untuk meneruskan rayuan beliau terhadap keputusan larangan perjalanan itu.

Dua hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Azahar Mohamed ialah dua lagi hakim dalam panel berkenaan.

Hakim Ahmad menegaskan bahawa Ambiga tidak boleh diberi kebenaran untuk merayu oleh kerana beliau gagal memenuhi keperluan awal mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sugumar Balakrishnan lwn Pihak Berkuasa Negeri Sabah pada 2002 masih boleh digunakan.

​​​​​​Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan menggunakan Seksyen  59 (A) Akta Imigresen 1959 yang  menyatakan bahawa keputusan pihak berkuasa negeri tidak boleh diadili dan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman kecuali atas alasan ketidakpatuhan prosedur.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah bukanlah bagi mahkamah untuk membuat keputusan dalam perkara berkaitan kuasa-kuasa pengarah Jabatan Imigresen Sabah menurut Seksyen 59 (A).

Peguam negeri Sabah Hanafiah Kassim berkata kuasa Imigresen bagi negeri-negeri Borneo adalah unik dan diberi di bawah peruntukan khas ketika pembentukan Malaysia.

Ambiga, menerusi peguam beliau Dr Gurdial Singh Nijar, memohon kebenaran untuk merayu bagi Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berhubung batasan penggunaan budi bicara oleh pengarah Imigresen Sabah untuk menafikan kemasukan mana-mana individu ke Sabah.

Gurdial Singh menggesa Mahkamah Persekutuan agar menyemak semula keputusan dalam kes Sugumar Balakrishnan lwn Pihak Berkuasa Negeri Sabah.

Ambiga, 61, mengemukakan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan larangan negeri itu terhadap beliau daripada memasuki Sabah pada 25 Nov, 2014 bagi mengadakan jerayawara bersama kumpulan pro perpaduan Negara-Ku, dengan beliau selaku penaungnya.

Beliau menamakan Pengarah Imigresen Sabah Noor Alam Khan A. Wahid Khan, Ghulam Jelani Khanizaman atas kedudukannya sebagai pihak berkuasa negeri, Ketua Menteri Sabah dan Datuk Moktar Yassin Ajam atas kedudukannya sebagai setiausaha Bahagian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan di Pejabat Ketua Menteri.

Ambiga kalah dalam kes beliau di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan di Kota Kinabalu.

Di luar mahkamah, Gurdial Singh memberitahu pemberita keputusan mahkamah itu mengesahkan bahawa pihak berkuasa Imigresen Sabah dan Sarawak mempunyai budi bicara yang mutlak dan tidak terbatas untuk menentukan siapa yang boleh memasuki kedua-dua negeri itu. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :