PUTRAJAYA - Bekas naib ketua bahagian Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh akan menghadapi tuduhan melakukan sabotaj di Mahkamah Sesyen dan mereka tidak akan dibicarakan di bawah prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) Sosma 2012.

Ini berikutan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan untuk membatalkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

"Kami bersetuju dengan pemohon di bawah Peraturan 88 (1) Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, ia adalah mandatori bagi perayu (pendakwaan) untuk menyerahkan salinan notis rayuan dalam tempoh 14 hari kepada responden. Dalam kedua-dua kes, ini tidak dilakukan," kata hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah yang mengetuai panel tersebut.

Justeru, dengan keputusan hari ini, pihak pendakwaan tidak boleh meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan, bahawa tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara yang dihadapi oleh kedua-dua mereka, tidak tertakluk di bawah Sosma dan bahawa keputusan itu terpakai.

Khairuddin dan Chang memfailkan permohonan untuk membatalkan rayuan pendakwaan kerana mereka mendakwa notis rayuan mempunyai  kecacatan kerana notis tersebut tidak diserahkan kepada mereka.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Khairuddin dan peguam Zainur Zakaria mewakili Chang berhujah di mahkamah bahawa kegagalan pihak pendakwaan menyerahkan notis rayuan kepada kedua-dua mereka telah melanggar keperluan Peraturan 88 menyebabkan rayuan itu tidak kompeten untuk dikemukakan kepada mahkamah.

Timbalan pendakwa raya Awang Armadajaya Awang Mahmud berhujah bahawa kegagalan untuk menyampaikan notis rayuan tidak menjejaskan rayuan dan menambah notis itu difailkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Khairuddin, 55, dan Chang, 67, dituduh bersama cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan Malaysia di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun lepas. Kedua-dua mereka menghadapi hukuman penjara maksimum 15 tahun jika sabit kesalahan.

Lokasi itu ialah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Charing Cross, London, United Kingdom; pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; balai polis WaiChan,  Hong Kong; dan ibu pejabat Polis Cantonment, Singapura.

Pada 18 November, 2015, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin mendapati bahawa tuduhan sabotaj yang dihadapi kedua-dua mereka bukan kesalahan keselamatan dan prosedur Sosma tidak terpakai.

Hakim Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM10,000 seorang dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Sesyen. Rayuan pihak pendakwaan ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 13 Dis tahun lepas.

Di bawah prosedur Sosma, seseorang tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin sementara selesai perbicaraan.

Di luar mahkamah, Mohamed Haniff Khatri memberitahui pemberita bahawa Khairuddin dan Chang akan dibicarakan di bawah Akta Keterangan 1950 dan Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata perbicaraan yang ditetapkan selama dua hari bermula 11 Mei akan diteruskan. – Bernama
 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Seorang kontraktor yang memuat naik status tidak puas hatinya terhadap saman yang dikeluarkan anggota polis trafik di Facebook (FB) sehingga menjadi tular, hari ini didenda RM4,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
  • PUTRAJAYA - Seorang taikun dan dua bekas menteri kabinet antara 23 individu yang akan dinamakan sebagai satu pihak dalam saman sivil Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA) terhadap bekas pengurus besarnya Datin Paduka Phang Oi Choo atau OC Phang.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 11,368 saman dikeluarkan dalam Ops Bersepadu Had Laju yang dijalankan selama tiga hari sejak Khamis hingga Sabtu di seluruh negara.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 302 saman dikeluarkan manakala 20 motosikal disita polis dalam Op Tutup di Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut di sini, lewat malam tadi.
  • SHAH ALAM - Tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian memfailkan saman terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia adalah tindak balas daripada kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menjalankan tanggungjawabnya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.