SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk mengetepikan saman sivil difailkan terhadapnya oleh keluarga mendiang model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Peguam Ram Karpal Singh, yang mewakili bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan tiga anggota keluarganya, berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Nasfy Yasin membenarkan permohonan itu dengan kos.

“Saya telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa plaintif berhasrat membuat rayuan mengenai keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi menetapkan 23 Nov sebagai tarikh sebutan kes seterusnya sementara menunggu rayuan yang dicadangkan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Ram Singh, saman keluarga Altantuya terhadap pegawai Unit Tindakan Khas Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar serta penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda tidak terjejas oleh keputusan itu dan akan diteruskan selepas keputusan mengenai rayuan yang dicadangkan itu diketahui.

Shaariibuu, isterinya, Altantsetseg Sanjaa dan dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman itu pada 4 Jun 2007.

Dalam saman berkenaan, keluarga Altantuya menuntut ganti rugi RM100 juta.

Mereka menamakan Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Abdul Razak dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya, 28, pada 2006.

Bagaimanpun, beliau dibebaskan daripada tuduhan itu pada Oktober 2008, tanpa perlu membela diri, manakala Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada tuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 13 Jan 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwa dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta memutuskan bahawa Sirul Azhar dan Azilah bersalah dan menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu menyebabkan mereka mengalami trauma dari segi mental dan psikologi.

Mereka mendakwa Abdul Razak bersubahat dengan dua pegawai polis berkenaan untuk membunuh Altantuya.

Mereka juga mendakwa Altantuya ditembak dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C-4 oleh Azilah dan Sirul Azhar hingga berkecai di sebuah hutan di Puncak Alam, Shah Alam pada 7 Nov 2006.

Plaintif antara lain mendakwa bahawa akibat tindakan Azilah, Sirul Azhar dan Abdul Razak itu, mereka mengalami penderitaan, terutama dua anak lelaki Altantuya, yang kehilangan ibu tersayang dan pencari nafkah untuk mereka. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Mahkamah akan menghubungi Wisma Putra untuk mengetahui status dokumen pindaan pernyataan tuntutan yang diserahkan kepada bekas anggota Unit Tindakan Khas polis, Sirul Azhar Umar berhubung saman RM100 juta yang difailkan oleh keluarga model Monggolia, Altantuya Shariibuu, lapan tahun lalu.
  • SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam dimaklumkan tiada sebarang perkembangan mengenai pindaan pernyataan tuntutan berhubung saman RM100 juta yang difailkan oleh bapa model Monggolia, Altantuya, Shaariibuu Steve, tujuh lalu.
  • KUALA LUMPUR - Bukti yang dikumpulkan dalam proses perundangan komprehensif langsung tidak menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memainkan sebarang peranan dalam kes bunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, kata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
  • KUALA LUMPUR - Baru-baru ini negara digemparkan sekali lagi dengan dokumentari kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.