KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan sepina yang dipohon Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos  terhadap  Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Sepina itu dipohon Jamal agar Mohamad Fuzi menjadi saksi dalam perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan aktivis, Maria Chin Abdullah terhadapnya atas dakwaan mengaitkan Bersih 2.0 dengan kumpulan pengganas Daesh.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab memutuskan perkara itu semalam selepas membenarkan permohonan Mohamad  Fuzi untuk membatalkan sepina berkenaan.

Prosiding dalam kamar hakim itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bagi pihak Ketua Polis Negara manakala peguam  V. Mugunthan, hadir mewakili Jamal.

Sementara itu peguam Shahid Adli Kamaruddin hadir bagi pihak Maria Chin.

Ketika ditemui pemberita, Ahmad Terrirudin  berkata antara alasan yang dikemukakan pihaknya iaitu ketika kejadian itu Mohamad Fuzi merupakan  Pengarah Cawangan Khas tidak mempunyai pengetahuan mengenai penahanan Maria Chin di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Sehubungan itu kes itu akan diteruskan dengan perbicaraan bermula 15 Januari depan.

Selain Mohamad Fuzi, Jamal turut mengemukakan sepina terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Ruslan Abdullah.

Jamal juga akan memanggil aktivis pembangkang, Hishamuddin Md Rais dan akan mengemukakan sapina terhadap peguam Hasan Karim yang pernah menjadi aktivis pelajar pada 1970-an iaitu Ketua Kelab Sosialis Universiti Malaya (UM).

Pada 7 Oktober tahun lepas, Maria, 60, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyaman Pengerusi Gerakan Merah Malaysia kerana mendakwa pada 28 Sept 2016, Jamal telah mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kenyataan itu kemudiannya telah diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Maria selaku Plaintif juga mendakwa, pada 4 Oktober tahun lepas, Jamal (defendan) sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telah diterbitkan pada 5 Oktober di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.