PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada kenderaan terpakai perlu diperiksa secara fizikal oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau dengan hanya pemeriksaan dokumen sebelum proses pemindahan hak milik.
   
Ini berikutan keputusan panel lima anggota hakim Mahkamah Persekutuan bagi membenarkan permohonan Pengarah JPJ Selangor, Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Malaysia untuk merayu dalam saman sivil yang difailkan terhadap mereka oleh seorang peguam.
   
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel itu membenarkan dua persoalan undang-undang untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan.
   
"Perkara ini perlu diputuskan secara muktamad," katanya.
   
Mahkamah Persekutuan akan menetapkan tarikh pendengaran sebaik pihak-pihak dalam kes ini mengemukakan dokumen mahkamah mereka.

Keputusan dalam kes ini penting kerana pendaftaran dan pemindahan hak milik kenderaan baharu dan lama dilakukan setiap hari.
   
Tahun lepas 22 juta kenderaan didaftarkan dengan JPJ di seluruh negara.
   
Perkara itu berbangkit berikutan saman sivil yang difailkan peguam Sin Yong Ming ke atas pemohon (Pengarah JPJ Selangor, Kementerian Pengangkutan dan kerajaan).
   
Sin membeli sebuah kereta Mercedes Benz terpakai daripada Leong Kok Chou pada Mac 1999 dan pemindahan hak milik dan juga kad pendaftaran dikeluarkan JPJ pada 1 April, 1999.
   
Empat bulan kemudian, polis merampas kenderaan itu dan pemeriksaan Jabatan Kimia mendapati ia merupakan kenderaan curi dengan nombor casisnya diubah.
   
Pada tahun 2000, Sin memfailkan saman sivil mendakwa JPJ gagal memantau dan mengemakini rekod pendaftaran kenderaan itu.

Pada 19 Okt, 2010, Mahkamah Tinggi membenarkan saman Sin dan memerintahkan ganti rugi berjumlah RM160,000 dan kos dibayar kepadanya.
   
Pada 20 Dis, 2010, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Pengarah JPJ Selangor, Kementerian Pengangkutan dan kerajaan.
   
Sebelum itu, Peguam Kanan Persekutuan Siti Badariah Yusuf berhujah di hadapan panel bahawa adalah menjadi tanggungjawab JP untuk hanya memeriksa sebuah kenderaan baharu secara fizikal seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 10 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
   
Beliau berkata bagi kenderaan terpakai, tugas JPJ hanya untuk memeriksa dokumen sebelum pemindahan hak milik dilakukan.
   
Peguam Mohd Firuz Jaffril, yang mewakili Sin berhujah bahawa Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa JPJ perlu memeriksa secara fizikal tanpa mengira sama ada ia kenderaan baru atau terpakai. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KANGAR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang memuat naik komen tidak berasas dengan mengaitkan kematian anaknya pada Disember 2001.
  • KUALA TERENGGANU - Tidak tahan dengan sikap suami inginkan aksi seks secara terlampau sehingga memudaratkan menjadi antara faktor mendorong isteri memfailkan penceraian di negeri ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.