PUTRAJAYA -  Satu majlis perbandaran di Melaka hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa langkahnya menaikkan kadar cukai taksiran pada Julai 2015 tidak sah di sisi undang-undang.

Kes itu berhubung tindakan sivil dikemukakan Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh daripada DAP Khoo Poay Tiong dan isterinya  Lee Wei Chan terhadap Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya  (MPHTJ) untuk pengisytiharan, antara lain, membatalkan keputusan MPHTJ menerusi sepucuk surat bertarikh 10 Ogos, 2015 untuk menaikkan kadar cukai taksiran.

Mereka berpendapat langkah MPHTJ itu melanggar Seksyen 143 Akta Kerajaan Tempatan.

Pada 19 Ogos, 2016, Mahkamah Tinggi Melaka mengisytiharkan kenaikan cukai taksiran oleh MPHTJ sebagai tidak sah dan batal kerana tidak mematuhi prosedur ditetapkan dalam Akta Kerajaan Tempatan. Mahkamah Rayuan pada 13 Mac tahun ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel tiga anggota bersama-sama dua hakim Mahkamah Persekutuan  Tan Sri Zainun Ali dan  Tan Sri Zaharah Ibrahim berkata: "Kami mencapai keputusan sebulat suara dalam pandangan kami; ini pertama kali kami akan membuat keputusan berhubung perkara ini. Kami membenarkan permohonan ini”.

Panel itu membenarkan rayuan MPHTJ berdasarkan dua soalan undang-undang:

(1) Sama ada berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976, syarat prosedur dalam Seksyen 141 dan 142 Akta itu adalah prasyarat yang pada kebiasaannya perlu dipenuhi, sebelum pihak berkuasa negeri boleh meluluskan dan sebuah pihak berkuasa tempatan mengesahkan senarai penilaian baharu itu;

(2) Sama ada senarai penilaian baharu itu adalah ultra vires terhadap Seksyen 143 dan melanggar undang-undang, tidak sah dan batal di bawah Akta itu walaupun senarai penilaian baharu itu telah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri berkenaan dalam tempoh masa ditetapkan dalam Seksyen 143(1) Akta itu dan meskipun syarat prosedur itu dipenuhi walaupun selepas tempoh masa ditetapkan dalam Seksyen 143(1) Akta itu  sebelum dikuatkuasakan senarai penilaian baharu itu.

MPHTJ, yang merupakan satu daripada empat majlis tempatan di Melaka, diwakili peguam Lambert Rasa-Ratnam, manakala Khoo dan isterinya diwakili peguam Gobind Singh Deo. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.