KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalani lima fasa persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata latihan itu merangkumi situasi ketika penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi.

Beliau berkata, latihan dijangka akan bermula bulan depan di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah dan negeri secara serentak.

"Walaupun kerajaan belum membuat pengumuman tarikh rasmi PRU, kami akan terus meningkatkan persediaan supaya PDRM berada di tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

"Maka ia adalah perkara penting untuk membuat latihan termasuklah latihan ketenteraman awam sebelum dan selepas PRU," katanya selepas hadir pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Pada 9 Okt lepas, seramai 60,000 pegawai dan anggota PDRM selesai menjalani latihan persediaan bagi menghadapi PRU14.

Datuk Mazlan Lazim dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Amar Singh Ishar Singh yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.

Mazlan sebelum ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur manakala jawatan lamanya itu, kini diambil alih oleh Datuk Zainuddin Yaacop.

Mengulas mengenai pelantikannya, Mazlan berkata beliau bertekad menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya yang selamat daripada jenayah ragut, pengedaran dadah, perjudian, pelacuran dan lain-lain lagi.

Beliau berkata untuk peringkat permulaan, pihaknya akan merangka perancangan dan membuat operasi bersepadu bagi menangani jenayah berkenaan. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • CHERAS - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan Ops Selamat ke-12 (Op Selamat 12), Isnin ini di kawasan rehat dan rawat (RNR) Lebuhraya Plus Ulu Bernam, Selangor.
  • SEREMBAN - Ketua Polis negeri, DCP Datuk Noor Azam Jamaludin mengingatkan semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam Pilihan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) perlu mendalami Prosidur Operasi Standard (SOP), undang-undang berkaitan dan sentiasa profesional dalam menghadapi sebarang situasi dan cabaran yang bakal dihadapi.
  • PASIR GUDANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan lebih 64,000 anggota dan pegawai di seluruh negara, bagi memastikan kelancaran perjalanan PRU14.
  • SERDANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti beberapa warga Bangladesh dipercayai terlibat dengan sindiket yang memainkan peranan bagi menguruskan penyeludupan buruh haram warga Bangladesh di negara ini, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
  • KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kes penipuan melalui panggilan telefon yang mendakwa daripada institusi kewangan atau PDRM didalangi sindiket dari Taiwan dan China yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong dan tempatan.