BUKIT MERTAJAM - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes seorang pegawai dan dua anggota polis cedera diserang semasa Ops Hujung Minggu di sebuah premis permainan simulasi di Jalan Pasar, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 30 tahun yang juga penagih dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Petani, Kubang Semang pada jam 4.15 petang tadi.

"Lelaki itu cuba melarikan diri melalui bumbung rumah tetapi terjatuh ke dalam bilik. Dia kemudian mengambil parang dan menyerang polis menyebabkan berlaku pergelutan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam Sabtu lepas, Inspektor M.Ganesh, 56, dan Konstabel G.Vivegananthan, 26, masing-masing luka di tangan kanan manakala Konst Mohamad Khusairi Ahamad, 22, cedera di paha kanan akibat ditikam.

Susulan itu, polis menahan seorang wanita berusia 32 tahun yang juga isteri lelaki terbabit. Ketika kejadian wanita yang juga penagih dadah itu turut berada di pusat simulasi berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata hasil pemeriksaan di rumah lelaki itu, polis menemui lima senjata api dipercayai tiruan serta lima parang panjang yang disyaki digunakan dalam kegiatan samun serta rompak di negeri ini.

Polis turut merampas dua motosikal yang dipercayai dicuri di rumah yang didiami lelaki terbabit bersama keluarganya, katanya.

Pasangan itu mempunyai tujuh anak berusia antara dua bulan dan 12 tahun tetapi ketika serbuan, kesemua anak mereka berada di rumah ibu mertua lelaki terbabit.

Beliau berkata siasatan juga mendapati lelaki itu terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes samun, curi kenderaan dan rompak sejak tahun lepas. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan lima individu termasuk dua wanita dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah rumah di Jalan Nusa Bestari dekat Skudai, di sini, dua hari lalu.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kes empat kenderaan milik pegawai kanan kastam dan anggota keluarganya yang terbakar dalam kejadian di kuarters kerajaan di Presint 11 di sini minggu lalu mempunyai unsur jenayah.
  • SHAH ALAM - Polis sedang mengesan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai melepaskan satu das tembakan di tempat awam dalam kejadian di Jalan Telok Bunut, Banting awal pagi tadi.
  • SEGAMAT - [VIDEO] Seorang lelaki warga tempatan maut selepas ditikam seorang lelaki warganegara Indonesia di rumah sewa teman wanitanya di Jalan Temenggong, di sini, kira-kira jam 3.26 pagi tadi.
  • JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya menemui kereta jenis BMW berwarna putih yang digunakan suspek dalam kes pembunuhan kejam di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi pada 17 Disember lalu.