KUALA LUMPUR - Seorang lelaki melecur di bahagian belakang badan dan kedua-dua tangan selepas dipercayai disimbah dengan petrol dan dibakar menggunakan pemetik api ketika memancing di bawah jambatan di Sungai Klang, Jalan Tun Sambanthan, di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharudin Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira 9 malam,  ketika mangsa berusia 42 tahun itu sedang memancing bersama sepupu dan dua rakannya.

Beliau berkata mangsa memaklumkan ada cecair dibuang dari atas jambatan Jalan Tun Razak berhampiran Hentian Bas Pekeliling Kuala Lumpur yang terkena badannya.

"Mangsa terasa panas dan terjatuh ke dalam Sungai Klang serta dibawa arus hingga ke kawasan berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra.

"Mangsa berjaya berenang dan sampai ke tebing lalu tertidur sehingga keesokan paginya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shaharudin berkata selepas sedar daripada tidur, mangsa ke tempat kejadian mencari sepupu dan dua rakannya tetapi tidak berjumpa, dan orang awam yang melihat mangsa melecur telah menelefon ambulans untuk dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata hasil soal siasat, seorang saksi menyatakan mangsa disimbah dengan minyak petrol dan dibakar dengan pemetik api oleh seorang lelaki.

"Pegawai penyiasat kemudian melawat lokasi kejadian dan menahan tiga saksi termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan. Punca kejadian itu dipercayai kerana mangsa selalu membuat kacau menyebabkan suspek tidak berpuas hati terhadapnya," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Dua rakan didakwa di dua mahkamah berasingan di Ampang di sini hari ini atas pertuduhan cuba melakukan khianat dengan menyimbah petrol di sebuah kedai runcit, mengugut untuk membunuh serta cuba merompak pekerja kedai runcit itu, bulan lepas.