KUALA LUMPUR - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, sebentar tadi, atas tuduhan menipu berhubung pelaburan pajakan bilik hotel di Makkah membabitkan kerugian lebih RM320,000 antara November 2015 dan Jun tahun lalu.

Sheikh Saidey Nor Sheikh Abdul Rahman, 43, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Solihin Abd Wahid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Sheikh Saidey didakwa menipu dengan memperdaya Mohd Ismail Norbat, melalui penama Nor Hazeerena Hamdan dengan menawarkan pajakan bilik hotel di Makkah yang tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM324,300 ke dalam akaun Nor Hazeerena sebelum dipindahkan ke lapan akaun yang diuruskan oleh tertuduh.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Desa Pandan, di sini, antara 27 November 2015 dan 30 Jun tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan dibenarkan sebelum mahkamah menetapkan 14 Februari untuk sebutan kes itu.

Semalam tertuduh bersama isterinya Sofia Affendi, 41, telah didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru berhubung kes sama Makah dan Madinah membabitkan kerugian RM597,151 pada April 2015.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA PILAH - Seorang peneroka felda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap tiga pertuduhan menipu seorang lelaki melibatkan kerugian RM60,000 berhubung urusan pengeluaran permit pasir yang dipercayai tidak wujud, dua tahun lalu.
  • PORT DICKSON - Dua pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi awam di sini bakal berhadapan pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.