KUALA TERENGGANU - Dipercayai kerana dendam lama, seorang lelaki sanggup melakukan khianat dengan merobohkan dinding kedai makan milik bekas isterinya, dalam kejadian September tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, A Rahman Ibrahim, 62, dari Kampung Beladau Selat, di sini, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, kerana perbuatan khianat itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merobohkan dinding bahagian hadapan kedai hingga menyebabkan pemiliknya, Cik Hasyati Mansor, 44, terpaksa menanggung kerugian RM500.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di Kuala Ibai, di sini, jam 8.30 malam, pada 4 September 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 14 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Dipercayai akibat tidak berpuas hati diberhentikan kerja, seorang lelaki nekad menyerang dengan memecahkan cermin hadapan kereta bekas majikan yang juga jirannya, dalam kejadian 19 Oktober lalu.
  • TAWAU - Seorang lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan api, di sebuah rumah pada awal September lepas.
  • PERMAS JAYA - Seorang suspek berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan satu kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah dan beberapa kenderaan di Taman Permas Jaya, di sini, awal pagi tadi.
  • IPOH - Seorang siswazah perubatan yang menghadapi dua‎ pertuduhan merosakkan patung di dalam sebuah kuil dan memiliki senjata berbahaya di sini pada April lepas, layak dibicarakan di mahkamah.