PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) menempelak dakwaan mengatakan Malaysia menjadi transit utama penyeludupan sisik tenggiling.

Ketua Pengarahnya, Datuk T Subromaniam berkata, tindakan dan laporan diberikan membuktikan Kastam menjalankan tindakan dalam membanteras kegiatan penyeludupan.

Menurutnya, bagaimanapun ia tidak bermaksud negara menjadi tempat penyeludupan terbesar.

"Berdasarkan jumlah-jumlah rampasan yang dibuat, ia hanya berdasarkan tindakan kita dengan penguatkuasaan dilakukan.

"Ada negara, dia dapat dia tak lapor atau tidak ambil tindakan. Saya tak sebut nama negara itu tapi ia dekat dengan kita," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia (KAK1M), hari ini.

29 Julai lalu, Kastam Negeri Sabah berjaya merampas kira-kira 8,000 kilogram sisik tenggiling yang dianggarkan bernilai RM100 juta  dipercayai untuk dieksport ke luar negara.

Selain itu, Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan penyeludupan sisik tenggiling seberat 400 kilogram (kg) bernilai RM5 juta, pada Jun lalu.

"Jadi, mana lebih baik, ambil tindakan? melaporkan?," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kastam masih menunggu siasatan selesai sebelum tindakan lanjut diambil berhubung enam pegawainya yang ditahan polis selepas dipercayai bersekongkol membenarkan rangkaian kumpulan kongsi gelap Geng 360 Devan menyeludup masuk dadah ke negara ini.

"Kita ada buat siasatan secara dalaman sementara menunggu siasatan selesai.

"Polis juga ada minta kita bantuan untuk mendapatkan maklumat tambahan dan kes ini masih di bawah siasatan polis," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NILAI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), merampas enam bungkusan guni disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 150.72 kg bernilai RM10.55 juta, dalam serbuan di sebuah premis di Seri Kembangan, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.