KUALA LUMPUR -- Kira-kira 76,200 siswazah masih menganggur kerana tiada kemahiran mencari pekerjaan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan hari ini.

Katanya berdasarkan kajian Jabatan Tenaga Kerja menerusi portal JobStreet Malaysia ke atas 1,994 responden, 77.14 peratus menyatakan mereka perlu mentor atau pembimbing dalam usaha mencari kerja.

 "Melalui bancian itu juga, kita dapati hanya 42.59 peratus bersetuju, menyatakan sepatutnya lepasan universiti tidak menghadapi masalah dalam mencari kerja, berbanding 57.41 peratus yang mengakui bermasalah untuk mencari kerja.

 "Ini jelas menunjukkan tiada kemahiran untuk mendapat maklumat dan membuat carian pekerjaan menyumbang kepada kegagalan lepasan universiti untuk mendapat pekerjaan," katanya menjawab soalan Senator Khoo Soo Seang di Dewan Negara di sini.

 Selain itu, katanya sikap siswazah yang terlalu bergantung kepada orang lain untuk menyampaikan maklumat mengenai peluang kerja serta tidak tahu bagaimana untuk memohon juga menyumbang kepada pertambahan kadar pengangguran.

 Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata kementerian sedang mengkaji cadangan untuk membekalkan komputer riba kepada pelajar luar bandar bagi merapatkan jurang digital dengan pelajar di bandar.

 Beliau berkata antara aspek yang diambil kira ialah implikasi kos, faktor keselamatan dan yang lebih penting pengisian aktiviti dalam memastikan peralatan yang dibekalkan memberi manfaat kepada murid.

 "Kementerian Pelajaran sememangnya amat peka dan prihatin bahawa pembelajaran berbentuk komunikasi teknologi maklumat dan komunikasi merupakan salah satu cara yang efektif dalam membentuuk modal insan berkemahiran," katanya
menjawab soalan Senator Lihan Jok.

Wee berkata inisiatif membekalkan komputer kepada pelajar luar bandar sudah dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia di bawah Program Netbook 1Malaysia.

 Dalam usaha meningkatkan peluang pelajar di luar bandar dan bandar menggunakan komputer untuk tujuan pembelajaran, beliau berkata kementerian turut melaksanakan Projek Makmal Pengkomputeran Sekolah yang dirancang oleh Unit Perancang Ekonomi sejak 2000.

 "Sehingga tahun lepas, sebanyak 70 peratus sekolah di seluruh negara telah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah makmal komputer  dan bagi sekolah yang belum mempunyai makmal berkenaan, ia akan diteruskan dalam pelan Rancangan
Malaysia ke-10.-- Bernama