MELAKA - Polis Melaka meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penipuan penjualan langsir yang menjadi tular di laman sosial sebelum ini agar menyalurkan maklumat bagi mengesan suspek terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka, Superintenda Baderulhisham Baharudin berkata, pihak polis telah mengesan video berdurasi 34 saat yang menjadi tular menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya dalam video itu  seorang pekerja sebuah kedai jamu telah didatangi oleh seorang individu tidak dikenali yang menyatakan majikannya ada membuat tempahan kain langsir.

“Individu tersebut kemudiannya  meminta nombor telefon pekerja kedai tersebut kononnya mahu berurusan terus dengan majikan. Seterusnya individu tersebut menghubungi majikan di hadapan pekerja dan mendakwa telah mendapat persetujuan dari majikan di mana pekerja tersebut diminta untuk membuat bayaran bagi tempahan  langsir.

“Pekerja telah menyerahkan wang tersebut mengikut jumlah yang dinyatakan kepada individu tersebut…Setelah penyerahan wang dibuat, pekerja menghubungi majikan dan memaklumkan perkara tersebut tetapi majikan pekerja menafikan ada menerima sebarang panggilan telefon dari individu yang dinyatakan oleh pekerjanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan polis mendapati bahawa terdapat tiga kes penipuan dengan menggunakan modus operandi yang sama telah berlaku di Daerah Alor Gajah yang melibatkan kerugian sebanyak RM970 dan kes itu  disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Baderulhisham  berkata orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan jangan mudah terperdaya  dengan orang yang tidak dikenali.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kes penipuan tersebut diminta untuk menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - [VIDEO] Seorang lelaki dijatuhkan hukuman setahun penjara dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini, kerana menipu berkaitan pengurusan rumah flat.
  • KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyiasat dakwaan seorang bekas pelajar kolej di utara tanah air bahawa kolejnya telah mengenakan caj tersembunyi dalam yuran ke atas peminjam PTPTN.
  • KUALA LUMPUR - Dijanjikan peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah, itu antara modus operandi sebuah kolej swasta di utara Semenanjung bagi menarik lebih ramai melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) itu.
  • KUALA LUMPUR - Lelaki Nigeria dan teman wanitanya dicekup di sebuah pangsapuri di Rawang, dekat sini, selepas dipercayai memperdayakan seorang ahli perniagaan hingga rugi ribuan ringgit.
  • MUADZAM SHAH - Kira-kira 48 peneroka termasuk ahli keluarga mereka dari Felda Keratong, di sini, membuat laporan polis setelah berasa tertipu dengan pakej umrah dan ziarah yang dikendalikan oleh sebuah syarikat di sini.