GEORGETOWN - Lapan mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini Sabtu lalu belum dituntut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr M. Sukumar berkata, Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang menerima 11 mayat dalam tempoh tiga hari lepas dan sehingga kini hanya tiga mayat telah dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan.

Dua mayat rakyat Indonesia iaitu Erwin Salis dan Hosrin Sharif dituntut keluarga masing-masing semalam manakala mayat rakyat Malaysia, Yuan Kuok Wern dituntut keluarganya hari ini.

"Jabatan Forensik mengendalikan 11 post mortem ke atas mangsa-mangsa tanah runtuh dan setakat 6 petang ini lapan mayat belum dituntut terdiri daripada tiga rakyat Myanmar, empat Bangladesh dan satu Pakistan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata tempoh dua minggu akan diberi kepada anggota keluarga untuk menuntut mayat sebelum pihak hospital membuat iklan mencari waris.

Sementara itu difahamkan mayat Yuan akan akan ditempatkan di rumah keluarganya di Bayan Lepas selama lima hari untuk ahli keluarga memberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan pada Jumaat.

Mayatnya adalah yang terakhir ditemui pasukan mencari dan menyelamat dan dibawa keluar dari kawasan runtuhan pada jam 11.18 pagi tadi.

Sejumlah 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan; empat Bangladesh; dua Indonesia; tiga Myanmar dan seorang Pakistan maut apabila ditimbus tanah lereng bukit yang runtuh. Ketika kejadian pada jam 8.57 pagi, kesemua mereka sedang bekerja di tapak pembinaan itu.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Operasi mencari dan menyelamat mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini dihentikan sepenuhnya pada jam 12.05 tengah hari tadi.
  • GEORGETOWN - Dua mayat lagi dijumpai pagi tadi menjadikan jumlah keseluruhan 11 mayat berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini.
  • GEORGETOWN - Difahamkan dua mayat lagi dijumpai pagi tadi menjadikan jumlah keseluruhan 11 mayat berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat di tempat kejadian.
  • GEORGETOWN - Usaha mencari dua lagi mangsa kejadian tanah runtuh di tapak projek pembinaan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini masih diteruskan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.