KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak membeli dan menggunakan produk kosmetik Sensual Meiji Skin Renewer Cream yang dikesan mempunyai racun berjadual asid azelaik.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Datuk Eisah A. Rahman berkata produk yang dikilangkan di Taiwan itu diuji serta dikesan mengandungi racun yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Katanya produk yang mengandungi asid azelaik, perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, yang bertujuan untuk mengurangkan kesan inflamasi bagi merawat masalah jerawat dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

"Penggunaan asid tanpa mendapat nasihat kepakaran daripada profesional kesihatan dikhuatiri boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini seperti bahagian kulit muka yang disapu mengalami rasa terbakar, kegatalan, kesan kemerahan, kulit mengelupas dan perubahan warna kulit," katanya.

Beliau berkata syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk itu diarah memberhentikan penjualan atau pembekalan dengan serta-merta dan memanggil balik kesemua stok produk itu dari pasaran dalam tempoh 72 jam.

"Sesiapa yang mempunyai stok produk itu dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaan produk berkenaan dengan serta merta," katanya.

Eisah berkata pemilikan produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan jika didapati bersalah boleh dihukum maksimum tiga tahun penjara dan denda RM25,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, beliau berkata syarikat yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 dan hukuman bagi kedua-dua individu ataupun syarikat akan meningkat jika didapati mengulangi kesalahan sama.

Pengguna yang mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat penggunaan produk kosmetik, dinasihatkan menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, di talian 03-8835532/5533/5537. - Bernama
  

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan produk kosmetik tidak berdaftar jenama GLUTAX 3GS dan GLUTAX 4G Premium.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai agar tidak membeli dan menggunakan produk kosmetik SF Protect and Perfect Day Cream yang dikesan mengandungi racun berjadual logam berat merkuri yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.
  • PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan dua produk kosmetik yang telah diuji dan dikesan mengandungi racun berjadual, hydroquinone dan tretinoin, yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.
  • SHAH ALAM - Polis Marin Pelabuhan Klang merampas pelbagai jenis barang penjagaan diri bernilai kira-kira RM30,000 yang diseludup menggunakan sebuah bot, di Pelabuhan Klang, semalam.