GEORGETOWN - Pasaraya Sunshine mengambil inisiatif sendiri dengan menyimpan stok kopi yang didakwa menyebabkan simptom letih dan lemah terhadap dua lelaki selepas meminum kopi tersebut dalam kejadian minggu lalu.

Pengurus Besar Sunshine Wholesale Mart Sdn Bhd, Yee Kam Ming berkata, sejak kes tersebut tular di media sosial, pihaknya mengambil keputusan untuk menyimpan kesemua stok kopi tersebut pagi semalam.

Menurutnya, kesemua enam cawangan pasaraya terbabit mengambil tindakan yang sama bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

"Tindakan (menyimpan stok) ini bukan atas arahan dari mana-mana pihak termasuk pembekal. Ia inisiatif Sunshine sendiri. Namun kita memaklumkan kepada pembekal tindakan menyimpan stok ini. Pembekal tahu hal ini selepas Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengambil sampel kopi dari mereka.

"Pembekal pun tak ada masalah, malah mereka minta kita simpan sehingga keputusan siasatan dan kajian diperolehi dari Jabatan Kesihatan Pulau Pinang. Oleh itu, sejak pagi tadi (semalam), kita tak jual kopi tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.

Kam Ming berkata, pihaknya tidak mengetahui tentang kopi tersebut yang didakwa penyebab kepada simptom letih dan lemah teruk sehingga kejadian yang menimpa dua pengawal keselamatan itu tular di media sosial.

"Kita jual dah lebih setahun. Produk ini orang suka terutamanya warga asing sebab dia perisa durian dan lemak berkrim. Selama jual kopi ini, Sunshine tak pernah terima aduan atau rungutan dari pelanggan.

"Malah saya juga pernah cuba, tapi tak ada apa-apa gangguan kesihatan, tak ada pening-pening. Tapi apa-apa pun, tunggu sampai laporan siasatan dan kajian siap dulu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah ketika dihubungi mengesahkan mangsa kini dilaporkan meningkat sehingga lima orang.

Menurutnya, kes pertama direkodkan pada 27 Januari lalu yang mana, kelima-lima mangsa itu menunjukkan gejala sama iaitu lemah dan letih teruk dipercayai berpunca dari kopi segera itu.

"Selain kedua-dua lelaki itu, seperti yang dilaporkan semalam, terdapat tiga kes yang sama namun dibenarkan pulang selepas kesihatan mereka bertambah baik. Dua lagi masih dirawat dan dalam perhatian namun dalam keadaan stabil.

"Setakat ini, kita sudah mengambil sampel darah pesakit dan akan mengemukakan kepada jabatan kimia untuk menjalankan beberapa ujian sebelum kita memperolehi keputusan. Ia akan mengambil masa. Kita juga mengambil sampel kopi untuk dihantar ke jabatan kimia," katanya.

Dr Wan Mansor bagaimanapun menolak untuk membuat kesimpulan bahawa simptom yang dialami mangsa berpunca dari kopi segera terbabit.

Dalam pada itu, polis belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan sama ada bagi pihak mangsa mahu pun hospital.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan berlaku kejadian tembak di sebuah pusat beli-belah di ibu kota seperti ditularkan di media sosial hari ini.
  • PUCHONG - Polis menahan enam lelaki yang bergaduh selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran pusat beli-belah di sini, semalam.
  • PUCHONG - Seorang penumpang kereta maut manakala seorang lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran Jalan Bandar 3, Pusat Bandar Puchong di sini, pagi tadi.
  • SHAH ALAM - Sebuah kedai emas rugi kira-kira RM80,000 selepas disamun dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah dekat Seksyen 23, di sini, semalam.