KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana meminta suapan RM500 daripada seorang lelaki yang ditahan dalam sekatan jalan raya.

Tertuduh, Ruslan Deraman, 57, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azman Mustapha dan mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 terhadapnya dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa meminta suapan bernilai RM500 daripada Roslan Abd Aziz sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki itu yang menunggang motosikal  yang melakukan kesalahan ketika ditahan dalam sekatan jalan raya.

Tertuduh yang bertugas di Bahagian Tugas-tugas Am dan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Wakaf Tapai, Marang didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Wakaf Tapai pada 13 Februari 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.  

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkannya diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dkendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ameer Abu Bakar Abdullah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMAMAN - Seorang pengurus pembangunan perniagaan sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu dan isterinya direman tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan nilai kira-kira RM5.4 juta pada 2010 hingga 2017.
  • KOTA KINABALU - Seorang peniaga wanita direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung kes sogokan bernilai RM1,200 terhadap pegawai polis trafik.
  • KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan akan mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap pemberi dan penerima rasuah jika mereka ditangkap.
  • KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak lebih agresif dari segi penguatkuasaan dan pendidikan bagi memerangi rasuah, sekali gus mencapai misi dan visinya iaitu sifar rasuah menjelang 2020.