KUALA LUMPUR - Seorang konsultan sebuah syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn Bhd kekal bebas daripada pertuduhan bersubahat dengan syarikat itu menerima deposit tanpa lesen berjumlah RM5.5 bilion, lima tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Shariff Abu Samah mengekalkan keputusan  Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Datuk Joseph Kow Hock Beng selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Kow.

Mohamad Shariff berkata tiada kekhilafan dalam keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen pada 28 April 2016 di akhir kes pendakwaan.

"Tiada merit dalam rayuan perayu (pendakwaan) oleh itu mahkamah mengekalkan keputusan hakim Mahkamah Sesyen untuk tidak memanggil responden (Kow) membela diri," katanya.

Pada 11 November 2013, Kow, 59, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Genneva untuk menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas menerusi dua akaun semasa CIMB Islamic Bank Berhad.

Kow yang diwakili peguam Datuk Nicholas Kow didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara 10 Januari 2011 dan 1 Oktober 2012.

Dia dituduh mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.