KUALA LUMPUR - Penyeludupan dadah menggunakan botol minyak wangi berisi kokain dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting), Bukit Aman.

Kegiatan terbongkar dalam dua serbuan sekitar kawasan Taman Puncak Desa, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, serbuan hasil perkongsian maklumat bersama Drug Enforcement Administration (DEA) dijalankan kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, serbuan berjaya menahan dua lelaki warga Nigeria berusia 36 dan 38 tahun dan pemeriksaan menemui 263 gram disyaki kokain dan 1.2 kilogram disyaki ganja.

"Selain itu, kedua-dua suspek yang kini sedang direman juga gagal menunjukkan dokumen perjalanan dan kita menyiasat perkara itu bagaimana mereka datang ke Malaysia," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Tambah beliau, modus operandi sindiket ini dipercayai membawa masuk kokain dari negara Brazil sebelum diimport ke Thailand berikutan dipercayai permintaan yang tinggi di negara jiran itu berbanding di Malaysia.

"Suspek menggunakan botol minyak wangi dan dimasukkan dengan cecair disyaki kokain sebelum diimport bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Dalam perkembangan lain, polis turut menumpaskan dua kumpulan pengedaran dadah di Changlun, Kedah dan Rantau Panjang, Pasir Puteh serta Pasir Mas, Kelantan dalam serbuan selama dua hari sejak kelmarin.

Mohd Mokhtar berkata, lima warga tempatan membabitkan lima lelaki dan dua wanita berusia 23 hingga 42 tahun dicekup dengan merampas pelbagai dadah, barangan kemas dan kenderaan.

"Sebanyak 88 ketulan mampat daun kering disyaki ganja (87.4KG), syabu (66.34KG), pil yaba (26 biji) dan erimin 5 (10 biji)," katanya.

Susulan tumpasnya tiga kumpulan pengedaran dadah membabitkan nilai melebihi RM5 juta ini, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan daripada 13 anggotanya bagi membantu siasatan berhubung kebocoran maklumat mengenai penahanan suspek kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung di sini.
  • KUALA LUMPUR - Polis menerima 694 kes penipuan melalui panggilan telefon atau 'Macau Scam' melibatkan kerugian RM21.4 juta dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
  • JOHOR BAHRU - Dua lelaki nyaris dibelasah orang ramai selepas mereka terjatuh dari motosikal yang dinaiki ketika cuba meragut seorang wanita, Isnin malam.
  • BATU PAHAT - Polis kini sedang giat mencari seorang lelaki yang juga pemandu kereta Perodua Viva, yang bertindak melarikan diri ketika sedang menerima rawatan di hospital, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.