BELURAN - Keupayaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam mempertahankan keamanan negara tidak harus diperkecilkan oleh mana-mana pihak, kata Anggota Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, ini kerana sejak ditubuhkan selepas insiden Tanduo pada Mac 2013, Esscom telah memperlihatkan banyak kejayaan khususnya dalam mematahkan cubaan atau rancangan penculikan oleh pelaku jenayah rentas sempadan dari negara jiran.

"Jangan jadi seperti pembangkang di negara ini yang memperkecilkan keupayaan pasukan keselamatan dalam memperkukuh aspek keselamatan tetapi berilah sokongan sepenuhnya terhadap kesungguhan mereka dalam memastikan keselamatan negeri ini terjamin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Semarak Rakyat Bersama Esscom di Muara Beluran, di sini malam tadi.

Turut hadir, Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali; Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Esscom, Noor Alam Khan dan Penolong Pegawai Daerah Beluran, Abdul Rahman Haji Talipuddin.

Ronald berkata, rakyat tidak boleh leka dan menyerahkan tanggungjawab menangani masalah keselamatan kepada pasukan keselamatan semata-mata sebaliknya bersama-sama menjaga keselamatan demi kepentingan bersama.

Menurutnya keberkesanan Esscom menjaga keselamatan di jajaran sepanjang 1,700 kilometer dari Tawau hingga ke Kudat perlu diberi pujian dan rakyat sewajarnya memberi kerjasama kepada Esscom secara berterusan.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan sentiasa memberi keutamaan kepada Sabah khususnya Esscom memberi kelengkapan peralatan demi menjamin keamanan negeri ini.

Terdahulu, Hazani dalam ucapannya berkata, generasi muda perlu mempertahankan aspek keselamatan negeri ini demi menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) negara.

Katanya hanya dalam tempoh 30 tahun sahaja lagi untuk mencapai sasaran TN50, tanpa keselamatan negara ini, ekonomi negara tidak akan meningkat .

Justeru beliau berkata, generasi muda pada masa inilah yang wajar mengambil tanggungjawab bersama menjaga keselamatan dan keamanan negara ini. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SANDAKAN - Biarpun jenayah rentas sempadan di perairan timur negeri ini masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya, namun pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berada di landasan yang betul dalam usaha membanteras jenayah itu, khususnya kes penculikan.
  • TAWAU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berharap keputusan dan ketetapan dibuat untuk menyelesaikan isu status anak pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dilahirkan di Sabah.
  • TAWAU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) adalah entiti penting dan masih releven dalam mengekalkan keamanan dan kedaulatan negeri ini.
  • SEMPORNA - Program semarak rakyat bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berjaya mewujudkan jaringan kerjasama antara pasukan keselamatan dan komuniti dalam aspek menyalurkan maklumat keselamatan.