KEMAMAN - Seorang pengurus pembangunan perniagaan sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu dan isterinya direman tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan nilai kira-kira RM5.4 juta pada 2010 hingga 2017.

Perintah reman itu dikeluarkan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini.

Suspek yang berusia 60 tahun dan isterinya, 53, direman sehingga 24 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Pasangan suami isteri itu ditahan bersama lima lagi ahli keluarga dan proksi kerana disyaki menyalahgunakan kuasa serta terlibat dalam perbuatan rasuah pada operasi khas yang dijalankan serentak di beberapa lokasi di Terengganu dan ibu negara bermula lebih kurang jam 9 pagi semalam.

Suspek yang berusia 59 tahun itu dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dengan melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan kepada diri dan keluarganya.

Wanita berusia 52 tahun ini ditahan semalam bersama suaminya kerana disyaki terlibat dengan kes rasuah.

Syarikat-syarikat itu adalah milik isteri, anak, menantu dan dua proksi suspek yang dilantik bagi memberi perkhidmatan dan bekalan yang berkaitan dengan program serta kursus bernilai kira-kira RM5.4 juta.

Difahamkan, anak syarikat Terengganu Inc itu menyediakan perkhidmatan mengurus serta memberi latihan dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.

Hasil siasatan awal pasukan penyiasat SPRM mendapati pengurus pembangunan perniagaan itu telah menyalahgunakan kedudukannya dengan memberi kontrak serta projek itu kepada syarikat milik ahli keluarga dan proksinya.

Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani berkata, pasukan penyiasat turut pergi ke beberapa lokasi di Terengganu termasuk rumah pengurus pembangunan perniagaan tersebut di Kemaman bagi mengambil dokumen-dokumen berkaitan kes bagi membantu siasatan.

Terdahulu, lelaki berkenaan dan isterinya tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.40 pagi hari ini dengan menaiki kenderaan SPRM berasingan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA KINABALU - Seorang peniaga wanita direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung kes sogokan bernilai RM1,200 terhadap pegawai polis trafik.
  • KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana meminta suapan RM500 daripada seorang lelaki yang ditahan dalam sekatan jalan raya.
  • KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan akan mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap pemberi dan penerima rasuah jika mereka ditangkap.
  • KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak lebih agresif dari segi penguatkuasaan dan pendidikan bagi memerangi rasuah, sekali gus mencapai misi dan visinya iaitu sifar rasuah menjelang 2020.