SHAH ALAM – Kes bunuh seorang ibu kepada dua anak di parkir sebuah pusat perniagaan di Seri Kembangan, 3 Februari lalu selesai selepas polis memberkas seorang lelaki, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, suspek berusia 33 tahun dan bekerja sebagai kontraktor ubah suai rumah itu tahan, kira-kira jam 7.10 malam.

Beliau berkata, polis turut merampas resit penjualan telefon bimbit di sebuah kedai pajak gadai di Klang. “Mangsa tidak mengenali suspek. Kes ini dipercayai bermotifkan samun,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor, hari ini.

Mohd Adnan berkata, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes samun dan curi. Katanya, suspek ditahan reman sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian tersebut, mayat mangsa berusia 39 tahun ditemui suami dan majikan tempatnya bekerja di tempat duduk penumpang hadapan di dalam kereta jenis Honda City.

Mangsa yang merupakan pembantu peribadi sebuah syarikat teknologi maklumat itu ditemui dijerut dengan wayar pembesar suara dan ditikam di bahagian kiri leher menggunakan pisau.

Sebilah pisau sepanjang enam inci ditemui di luar pintu kereta di bahagian pemandu dan telefon bimbit, dompet serta beg tangan milik mangsa hilang.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.