PADANG BESAR - Semua kes buli hendaklah diselesaikan oleh pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan tidak perlu dibawa kepada Kementerian Pendidikan untuk keputusan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketiga-tiga pihak berkenaan perlu  berpendirian tegas dalam menangani kes-kes buli dilaporkan.

“Yang penting kena tegas, walaupun sampai peringkat buang sekolah jika dah melampau sangat, tak payah nak minta ampun dan maaf,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Padang Besar di Dewan Maktab Rendah Sains Mara di Beseri di sini, hari ini.

Beliau yang diminta mengulas kejadian buli membabitkan pelajar berkata penubuhan unit khas bagi menangani kes buli tidak perlu kerana peraturan sedia ada sudah memadai selain pihak sekolah, PPD dan JPN mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

Mengenai banjir, Mahdzir berkata, JPN setiap negeri telah diarah memantau keadaan dan mengambil langkah-langkah perlu menjelang peperiksaan UPSR yang semakin hampir.

Katanya pembinaan Sekolah Sukan Bukit Chabang di Beseri akan disambung semula sebaik kontraktor baharu dipilih oleh Kementerian Kewangan. Pembinaan sekolah itu tergendala beberapa kali berikutan konttraktor yang dilantik gagal menyiapkan projek tersebut.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Mahdzir yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, parti itu sebagai teras kerajaan BN sejak negara mencapai kemerdekaan sentiasa melakukan transformasi untuk memperkasa bidang pendidikan.

“Sistem pendidikan dan pengukuhan kurikulum sentiasa dilaksanakan. Dasar yang dilaksanakan ini termasuk wajib lulus Bahasa Malaysia di semua peringkat tidak mengecualikan sekolah berasaskan bahasa ibunda,” tambahnya.

Mahdzir berkata, transformasi yang dilaksanakan sehingga kepada pengenalan Pelan Pembangunan  Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah bagi melahirkan dan memperbaiki pencapaian  holistik  pelajar  diperjuangkan oleh Umno.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.