KUALA LUMPUR - Selepas dua minggu tragedi kebakaran menyayat hati di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah yang mengorbankan nyawa 21 pelajar dan dua guru, hari ini lima remaja dan seorang kanak-kanak dihadapkan ke muka pengadilan.

Seawal jam 7 pagi, pengamal media tempatan dan antarabangsa berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi membuat liputan kes yang menggemparkan negara itu.

Prosiding pendakwaan berlangsung di tiga buah Mahkamah Majistret berasingan kerana pertuduhan yang berbeza dan membabitkan tertuduh di bawah umur.

Pendakwaan pertama bermula pada jam 12.05 tengah hari apabila dua remaja berusia 16 tahun didakwa membunuh 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, di sini antara jam 4.15 pagi hingga 6.45 pagi, 14 September lalu.

Mereka didakwa bersama-sama terhadap 23 pertuduhan membunuh 23 mangsa yang berumur antara tujuh hingga 26 tahun.

Bilik bicara di mahkamah itu pada mulanya sesak dengan kehadiran media, anggota keluarga mangsa dan orang awam yang hadir sama untuk mengikuti kes itu namun Majistret Siti Radziah Kamarudin kemudian mengarahkan prosiding itu dijalankan secara tertutup kerana kedua-dua tertuduh masih di bawah umur iaitu 16 tahun.

Media termasuk anggota keluarga mangsa turut diarah keluar dan hanya keluarga tertuduh dibenarkan berada di bilik bicara.

“Orang awam diminta keluar kecuali keluarga tertuduh. Mahkamah akan menjalankan prosiding secara tertutup,” kata Siti Radziah.

Kedua-dua remaja itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Namun, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Sementara itu dua remaja itu, bersama dua lagi remaja dan seorang kanak-kanak dihadapkan ke dua buah Mahkamah Majistret berasingan atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan mereka.

Dua remaja berusia 16 tahun yang dituduh membunuh, mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zilfinaz Abbas, bagaimanapun mahkamah belum menjatuhkan hukuman terhadap mereka sementara  menunggu laporan akhlak dan  laporan kimia.

Tiga lagi tertuduh termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dan remaja berusia 16, dan 17 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Mereka masing-masing didakwa memasukkan dua jenis dadah iaitu ganja dan syabu ke dalam badan di tandas Pejabat D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, kira- kira jam 11.35 pagi, 16 September lalu.

Pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap semua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin yang mewakili tertuduh berusia 12 tahun memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya masih kanak-kanak.

Majistret Zilfinaz Abbas membenarkan kanak-kanak itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Prosiding kes itu dijalankan secara tertutup kerana kes melibatkan tertuduh di bawah umur.

Di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar seorang lagi tertuduh, Mohammad Shahrul Nizam Ikmal Shafi-in, 18, membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan memasukkan dadah jenis carbolic acid dan syabu di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Bagaimanapun mahkamah belum menjatuhkan hukuman ke atasnya sementara menunggu laporan akhlak dan laporan kimia.

Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap tertuduh dan mahkamah tidak membenarkan dia diikat jamin.

Ketika di luar mahkamah wartawan mengambil peluang untuk mencari anggota keluarga mangsa dan tertuduh yang hadir untuk ditemuramah namun hanya keluarga mangsa dapat ditemuramah manakala keluarga tertuduh tidak dapat dikenal pasti.

Bernama cuba mendekati dan bertanya seorang lelaki yang datang dengan anggota keluarganya adakah dia hadir untuk prosiding kes tahfiz, lelaki itu pada mulanya menjawab 'ya' namun sebaik wartawan bertanya sama ada dia daripada keluarga mangsa atau tertuduh, dia kemudian berkata "saya datang untuk kes tahfiz lain" dan terus memalingkan muka.

Sementara itu kebanyakan keluarga mangsa yang ditemui pemberita berkata mereka memaafkan tertuduh namun tidak akan melupakan apa yang berlaku.

Mas Aliza Ali Bapoo, 22, yang merupakan kakak sepupu kepada tiga orang mangsa, Muhd Syafiq Haikal Mohd Sulaiman, 13; Muhd Hafiz Iskandar, 11, dan Muhd Harris Ikhwan, 10, yang maut dalam kebakaran itu berkata beliau dan keluarga menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat pertimbangan sewajarnya demi membela nasib adik-adik sepupunya.

"Kami reda kerana kehidupan perlu diteruskan. Kami serahkan kepada mahkamah. Biarlah mereka yang mengadili," katanya yang memberitahu ibu ketiga-tiga mangsa tidak hadir pada prosiding itu.

Selain itu Datuk Dr Sharifuddin Musa, 45, bapa kepada Mohd Shahir, 11, seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi itu berkata beliau hadir pada prosiding hari ini untuk mengikuti sendiri kes itu.

"Saya hadir untuk melihat prosiding tetapi diarah keluar, hanya keluarga tertuduh dibenarkan berada di dalam mahkamah," katanya memberitahu dia juga tidak mengenali keluarga mana-mana tertuduh.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi, 14 September lalu, 21 pelajar dan dua guru yang juga warden asrama maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim mengesahkan kebakaran itu adalah perbuatan sengaja susulan penemuan dua tong gas serta kesan simbahan petrol pada perabot dan dinding sekolah tiga tingkat itu. - Bernama

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Tempoh tahanan reman anak saudara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali dan seorang pengarah syarikat dilanjutkan selama tiga hari bermula hari ini.
  • PUTRAJAYA - Seorang warga Vietnam bergelar Datuk, Maimunah @Tran Thi Mai yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan Jumaat lalu kerana memberi rasuah, sekali lagi direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memberi sogokan RM890,000 kepada pegawai Maritim (Maritim).
  • SHAH ALAM - Bekas kakitangan Pejabat Menteri Besar Selangor yang ditahan semalam direman tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam pemberian projek membekal cenderahati ke pejabat Menteri Besar Selangor membabitkan RM16,566 tahun lalu.
  • KUALA LUMPUR - Dua orang mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini yang sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dijangka dibenarkan pulang esok.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah memeriksa lebih 200 pusat tahfiz di seluruh negara, susulan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, 14 September lalu.