BANTING - Seorang penunggang motosikal maut apabila dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang doktor dalam kejadian di Kilometer 9 Jalan Banting - Dengkil, dekat sini, kelmarin.

Mangsa dikenali Mohamed Sahrif Ali berusia 38 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam, sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipandu seorang doktor dari arah Dengkil menghala ke Banting dipercayai telah hilang kawalan.

Menurutnya, kereta tersebut telah memasuki lorong kanan lalu melanggar motosikal yang dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Kereta tersebut telah mengheret mangsa ke bahu kiri jalan dan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat,” katanya.

Tambah Azizan, motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk, manakala kereta rosak di bahagian bonet depan.

Katanya, keterangan daripada pemandu kereta itu telah diambil bagi membantu siasatan dan usaha mengesan saksi bebas masih dijalankan.

 

 

 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :