PUTRAJAYA - Hukuman pemenjaraan empat tahun yang dihadapi Kerabat Diraja Johor, Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah Tunku Qadir kerana sengaja mencederakan petinju kebangsaan Muhammad Farkha Mohd Haron, dikurangkan kepada dua tahun oleh Mahkamah Rayuan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel hakim yang diketuai oleh Datuk Zawawi Salleh selepas membenarkan permohonan perayu, Tunku Nick Tazuddin,32, terhadap hukuman.

Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan untuk mengetepikan sabitan.

Zawawi yang membacakan keputusan tersebut berkata, hukuman empat tahun adalah tidak wajar kerana wujudnya elemen provokasi di dalam kes tersebut.

"Perlaksanaan hukuman bermula hari ini dan turut mengambil kira enam minggu yang telah dilaksanakan perayu sebelum ini," katanya.

Selain itu, mahkamah turut mengenakan denda RM10,000 dan penjara tambahan setahun sekiranya gagal membayarnya.

Tunku Nick Tazuddin yang memakai kemeja hitam mengangguk faham ketika ditanya Zawawi terhadap keputusan itu.

Turut bersidang, Hakim Datuk Idrus Harun dan Datuk Yaacob Md Sam.

Tunku Nick Tazuddin diwakili peguam, Mohd Daud Ismail manakala  pendakwaan selaku respondan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Kwan Li Sa.

Pada 28 Jun 2013, Tunku Nick Tazuddin bersama rakannya, Alex Foo Hee Wee, 46, dan Mohd Arif Husin, 40, dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Baharu selepas didapati bersalah secara bersama-sama melakukan kesalahan itu di Jalan Molek 3/2, Taman Molek, Johor Baharu, antara 4.30 pagi dan 7 pagi pada 6 Mei 2012.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Seorang penganggur hari ini dipenjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merompak pelancong wanita warganegara China dan menikamnya dengan pisau sehingga mangsa mengalami kecederaan serius.
  • MELAKA - Tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan setiap seorang oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan wang tebusan, enam tahun lepas.
  • KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 terhadap Naib Presiden PKR, Tian Chua yang didapati bersalah tidak mematuhi perintah polis supaya beredar dari kawasan larangan di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol) di sini, empat tahun lepas.
  • KOTA BHARU - Padah buat seorang pendawai elektrik apabila dihukum penjara 10 bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam, akibat mencurah air serta melibas ibunya dengan kain basah kerana menegur perbuatan membawa balik teman wanita ke rumah mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.