KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 14 Februari depan untuk keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Penolong Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, mencabar pelantikan Tun Md Raus Sharif sebagai ketua hakim negara dan hakim tambahan Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datin Azizah Nawawi menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Mohamed Hanipa Maidin, mewakili Abang Ahmad Kerdee serta Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak Md Raus selaku responden.

Mohamed Hanipa ketika ditemui pemberita berkata pihak responden membantah permohonan anak guamnya atas asalan permohonan itu tidak mempunyai locus standi dan tidak boleh disemak di mahkamah kerana pelantikan Md Raus dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peguam itu berkata, beliau pula berhujah bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu dan bukan sahaja parti Amanah mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk memfailkan semakan malah semua rakyat Malaysia berhak berbuat demikian.

Berhubung isu ‘Writ Quo Warranto’, Mohamed Hanipa berkata permohonan itu difailkan bukan untuk mencabar orang yang melantik, tetapi mencabar orang yang dilantik.

Abang Ahmad Kerdee selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 1 November lalu bagi menuntut deklarasi mengatakan pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan pada 4 Ogos 2017 di bawah Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah, tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.

Pemohon juga menuntut agar diberi kebenaran mendapatkan ‘Writ Quo Warranto’ supaya responden menunjukkan sebab dan memberikan pengesahan bagaimana dan apakah asas responden memegang jawatan berkenaan.

Beliau juga menuntut perintah certiorari membatalkan pelantikan responden sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan dan ketua hakim negara, juga perintah injunksi bagi menghalang responden dan atau ejen beliau melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas beliau sama ada sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan atau ketua hakim negara.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memberi kebenaran terhadap gerakan Islamic Renaissance Front (IRF) untuk memulakan semakan kehakiman berhubung tindakan pengharaman tiga buku terbitannya oleh Menteri Dalam Negeri.
  • KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 Oktober untuk mendengar permohonan semakan kehakiman difailkan seorang bekas pelajar perubatan untuk mencabar keputusan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menamatkan pengajiannya.