BENTONG - Ketiadaan Muhammad Kamil Md Sukri sejurus selepas kejadian pokok tumbang di Lata Charok, Janda Baik, awal hari ini pada mulanya  tidak disedari oleh pihak pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta rakan-rakannya yang menyertai aktiviti survival malam tadi.

Penguasa Bomba Zon 2, Shahrin Yusma Yusma Mat Yusof berkata, ketiadaan pelajar berkenaan hanya diketahui selepas pengiraan jumlah pelajar dilakukan pada 7.30 pagi di kawasan lapang berhampiran chalet penginapan pelajar, yang lokasinya terletak setengah jam dari kawasan kejadian.

"Sebaik menyedari tentang kehilangan mangsa, gerakan mencari dan menyelamat telah dilakukan di kawasan kejadian dengan turut menggunakan Unit Anjing Pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Selepas lebih empat jam setengah gerakan mencari dilakukan, seorang daripada anggota bomba  menemui mangsa pada 12.15 tengah hari dalam keadaan terperosok di dalam tanah dengan dihempap sebatang pokok balak sebesar tiga pemeluk orang dewasa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya pasukan penyelamat pada mulanya menggunakan dua unit mesin gergaji untuk memotong pokok yang menimpa Muhammad Kamil, 22, namun tidak berjaya disebabkan keadaan pokok balak berkenaan yang terlalu besar selain terlalu keras.

Berikutan itu, Shahrin berkata, pihaknya terpaksa menggunakan cara lain iaitu dengan mengorek tanah menggunakan cangkul dan penyedok untuk mengeluarkan mayat mangsa yang terbenam di dalam tanah itu.

"Sekali lagi, kami berdepan kesukaran apabila terdapat batu besar yang menghalang usaha menggali tanah untuk mengeluarkan mangsa. Bagaimanapun, selepas hampir dua jam setengah, mayatnya dapat dibawa keluar pada 1.44 petang," katanya.

Menurutnya usaha membawa turut mayat Muhammad Kamil mengambil masa lebih 45 minit berikutan  kawasan berkenaan yang agak curam.

Selain Muhammad Kamil yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor, turut maut dalam kejadian itu ialah Noorain Mohtar, 23, dari Sungai Besar, Selangor.

Lima pelajar yang cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Bentong ialah Abdul Muaz Abdul Razak, 22, dari Kampung Merawan Indah, Ipoh, Perak; Mohd Ammar Affandi Ahmad Subki, 20, dari Padang Serai, Kedah; Nur Farah Izzatul Azira Md Fauzi, 20, dari Kulai, Johor; Farah Hanisah Hamdan, 22, dari Parit Buntar, Perak, dan Ainin Sofea Abd Shukor, 21, dari Benut, Johor.

Muhammad Haziq Radzuan, 21, dari Bandar Puncak Alam, Selangor yang cedera parah pula dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi menyelamatkan kesemua mangsa itu disertai oleh 21 pegawai dan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Bentong, Genting Highlands, Pejabat Zon 2, selain beberapa lagi agensi lain termasuk bomba sukarela, polis dan Angkatan Pertahanan Awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohd Mansor Mohd Nor mengesahkan aktiviti itu dijalankan tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak polis mahupun Jabatan Hutan.

Keadaan itu, difahamkan, menyukarkan pihak penyelamat untuk mengesan kedudukan kawasan kejadian sebaik sahaja menerima laporan tentang tragedi itu pada 4.15 pagi tadi. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LANGAT - Dua kanak-kanak dan dua warga emas maut dalam kebakaran membabitkan kediaman mereka di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, di sini awal pagi tadi.
  • SITIAWAN - Seorang lelaki warga Nepal maut selepas terlibat dalam satu pergaduhan sebelum dia dihumban rakannya dari tingkat tiga Hostel Green Prospect yang terletak dalam sebuah kilang pembuatan sarung tangan di Kampung Acheh, di sini, semalam.
  • KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak lelaki tujuh tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah kondominium di Jalan Pandan 3/11, Pandan Jaya, Selangor petang semalam.
  • BAGAN SERAI - Perjalanan seorang lelaki ke tempat kerja berakhir tragedi apabila dia maut selepas merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 181, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran Plaza Tol Alor Pongsu, di sini pagi tadi.
  • BENTONG - Seorang lelaki maut selepas tersepit di dalam mesin memproses kertas di sebuah kilang kertas tengah malam tadi.