KUALA LUMPUR - Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini belum mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Malaysia untuk berjumpa dengan seorang wanita pemegang pasport negara itu, Siti Aishah yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes kematian Kim Jong-nam Isnin lepas. 

Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Andriano Erwin berkata pihaknya masih menunggu maklum balas dan kebenaran polis untuk berinteraksi dan menyemak identiti wanita itu yang dikaitkan dengan pembunuhan abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

"Kedutaan sudah menghantar surat permohonan untuk berjumpa wanita itu kepada Wisma Putra tetapi kami masih belum mendapat kebenaran kerana siasatan polis masih berjalan.

Wisma Putra memberitahu, polis Malaysia ingin jalankan dan lengkapkan siasatan terlebih dahulu sebelum wanita itu dibenarkan berjumpa dengan siapa-siapa termasuk (pihak) kedutaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dilapor, identiti lelaki yang mati itu, yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, disahkan secara rasmi sebagai Jong-nam oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehingga berita ini ditulis, dua wanita asing dan seorang lelaki tempatan ditahan setakat ini berhubung kes itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu awal kait kematian Jong-Nam dengan ejen khas]

Suspek wanita pertama, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2), memegang dokumen perjalanan Vietnam yang mana pasport itu menggunakan nama Doan Thi Huong, dengan tarikh lahir 31 Mei 1988 dan tempat lahirnya di Nam Dinh.

Polis menahan suspek wanita kedua memegang pasport Indonesia dengan nama Siti Aishah, yang menyatakan tarikh lahir pada 11 Februari 1992 dan tempat lahirnya di Serang, Indonesia.

Turut ditahan seorang lelaki warga Malaysia berusia 26 tahun yang dikatakan teman lelaki Siti Aishah.

Kedua-dua suspek wanita kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Seorang lelaki yang memandu kereta dengan membawa mayat teman wanitanya ke Balai Polis Damansara minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.
  • BELAGA - Seorang wanita berusia 25 tahun ditemukan mati manakala suaminya cedera dengan kesan kelaran di leher masing-masing di sebuah rumah panjang di Sungai Asap di sini, malam semalam (Ahad).
  • KUALA LUMPUR - Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara didakwa bertemu dengan seorang warga Amerika Syarikat (AS) di hotel sebuah pulau di Malaysia beberapa hari sebelum dia dibunuh pada Februari tahun lalu, menurut pegawai polis ketika perbicaraan, semalam.
  • BATU GAJAH - Seorang lelaki Orang Asli didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini atas pertuduhan membunuh bapa saudaranya di sebuah rumah di Kampung Chenderong Kelubi, Sungai Galah, Kampung Gajah, 7 Januari lalu.
  • TAIPING - [VIDEO] Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di sebuah rumah di Batu Matang, Matang Road, 11 Januari lalu.