KUALA LUMPUR - Kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun, Hamsa Vharshallinee, yang dilaporkan hilang di Taman Desaria 1, Petaling Jaya petang semalam dipercayai telah diambil oleh ibu kandungnya sendiri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima laporan polis pada jam 9.38 malam tadi daripada ibu tirinya yang berusia 34 tahun di Balai Polis Sungai Way berkenaan kehilangan Hamsa.

"Menurut pengadu, dia dimaklumkan oleh rakannya bahawa Hamsa telah dilarikan oleh seorang perempuan semasa berada di luar kawasan rumah datuknya di sini pada pukul 3 petang semalam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zani berkata, siasatan awal mendapati Hamsa yang bersama keluarga bapanya diambil oleh ibu kandungnya yang berusia 34 tahun dan dibawa pulang ke rumah wanita itu di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Beliau berkata ibu kandung Hamsa turut membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kubu Bharu pada jam 10.49 malam tadi.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan merakam keterangan dari kedua-dua pihak," katanya.

Semalam, kehilangan Hamsa tersebar di laman sosial apabila pengguna facebook yang menggunakan nama 'We Are Malaysian Indians' memuat naik gambar kanak-kanak perempuan itu yang dilaporkan hilang pada 3.30 petang semalam. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA KINABALU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Sabah dan Labuan memohon bantuan Komuniti Maritim di sekitar perairan Pulau Tiga, Sabah untuk mengesan seorang pemancing bersama sebuah bot pam yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing sejak petang 9 Januari lalu.
  • RAUB - Seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai dilarikan seorang lelaki mengaku anggota polis di rumahnya di Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, semalam.
  • KUCHING - Seorang pakar patologi dari Mesir yang berkhidmat di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, yang dilaporkan hilang sejak 12 Disember lepas, dipercayai selamat dan masih berada di negara ini.
  • GUA MUSANG - Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang semalam ditemui tepat 12 jam di blok tiada penghuni pada jam 11 pagi tadi.
  • PORT DICKSON - Kanak-kanak 10 tahun, Faralysa Amani yang dilaporkan hilang dari rumah keluarganya di kuaters kakitangan Politeknik Port Dickson pagi tadi telah ditemui sekitar jam 9 malam tadi.