TANJUNG MALIM - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia akibat lemas selepas dihanyutkan air ketika berkelah di Sungai Bernam berhampiran Kampung Simpang Empat Dalam, di sini, petang tadi.

Kejadian sekitar jam 3 petang itu hanya disedari ahli keluarga selepas 15 minit mangsa hilang.

Ketika kejadian, tiada ahli keluarga menyedari mangsa Nurbalqis Zahra Zuraimi, dihanyutkan air.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa bersama bapa saudara dan ibu saudara serta lima sepupu yang lain ke sungai berkenaan untuk berkelah.

Ketika mandi, tiada siapa menyedari kanak-kanak itu telah dihanyutkan air sehinggalah seorang sepupu menyedari ketiadaan mangsa.

"Bapa saudara yang berusia 31 tahun kemudian bertindak mencari dan menyelam di kawasan sungai, namun tidak menjumpai mangsa.

"Lelaki itu kemudiannya menyusuri hilir sungai sejauh hampir 400 meter dan menemui mangsa terbaring kaku di atas beting pasir," katanya.

Bapa saudara mangsa cuba memberikan bantuan pernafasan sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Tanjung Malim dengan bantuan orang awam.

"Pihak klinik mengesahkan mangsa gagal diselamatkan. Hasil bedah siasat menunjukkan kematian disebabkan sesak nafas akibat lemas," katanya.

Dengan keputusan itu, Wan Kamarul menolak kemungkinan wujudnya unsur jenayah dalam kes berkenaan.

"Tiada kesan luka atau lebam ditemui pada tubuh badan mangsa yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail meninggal dunia di kediamannya di Kuala Lumpur, sebentar tadi.
  • KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ishak Tadin meninggal dunia di kediamannya di Jalan Chan Chin Mooi, Tasik Titiwangsa di sini, hari ini.
  • PORT DICKSON - Bekas Pegawai Khas Politik, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Masiyon Mardan@Buhair,64, meninggal dunia sekitar jam 3 petang tadi ketika mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sedang berkenaan slipped disc sakit tulang belakang yang dihidapinya.
  • DURIAN TUNGGAL - Seorang imam di Masjid Imam Muslim, Belimbing Dalam meninggal dunia selepas rakaat ketiga, ketika mengimamkan solat Zohor di masjid itu, tadi.