AUTA: SATU mesej tersebar di laman sosial Facebook mengatakan dua kanak-kanak  perempuan diculik di Pangsapuri Berembang  Indah, Jelatek. Mesej tersebar sejak 28 Jun lalu.

Mesej tersebut juga mengatakan, kejadian berlaku kira-kira 9.20 malam di mana rumah mereka telah dipecah masuk.

Antara lain, mesej itu ditulis: "Adik Syafiqah Alya dan Syaza Amira telah diculik di Pangsapuri Berembang  Indah, Jelatek  dalam pukul 9.20 mlm td..Rumah dipecah masuk..Tolong Sebarkan sebanyak mungkin..Jika anda ternampak, sila hubungi Aku di talian 017-3416056 dengan kadar segera atau terus buat report di balai polis berdekatan".

Turut dimuat naik, gambar kedua-dua kanak-kanak itu bersama seorang wanita dipercayai penjaga kanak-kanak tersebut.

 
FAKTA: Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad, laporan polis dibuat mengenai kehilangan dua kanak-kanak berusia tujuh dan lapan tahun pada 27 Jun lalu, oleh ibu mangsa.

“Ketika kejadian, penjaga kanak-kanak tersebut mendapati kunci mangga rumah telah dipotong. Rumah berselerakan manakala kedua-dua kanak-kanak itu tiada di rumah.

“Ibu mangsa mengesyaki kedua-dua anaknya dilarikan suami berdasarkan pesanan khidmat ringkas (SMS) suaminya yang mahu mengambil anak-anaknya dan tidak akan bertemu lagi,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian, polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di sebuah rumah di Lembah Subang, pada 28 Jun lalu, kira-kira jam 11.50 pagi.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua kanak-kanak itu berada di rumah dan sedang tidur. Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada ibunya, manakala lelaki tersebut ditahan untuk bantu siasatan.

“Hasil ujian air kencing, suspek didapati positif dadah jenis amphetamine,” katanya.

Dalam pada itu, polis tidak menolak kejadian berlaku kerana masalah keluarga.

“Ibu mangsa dan suaminya tidak tinggal bersama kerana dalam proses penceraian. Lelaki itu juga tidak ada pekerjaan tetap,” katanya.