SHAH ALAM - Satu mayat berulat ditemui terapung di kawasan perangkap sampah Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mayat lelaki itu ditemui kira-kira jam 11.08 pagi oleh orang awam.

“Mayat ditemui dengan keadaan memakai baju, stokin namun tidak berseluar.

“Pemeriksaan di mayat itu bagaimanapun tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Menurutnya, mayat telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat dijalankan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, lapan anggotanya daripada Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikejarkan ke lokasi.

“Mayat mangsa telah dibawa ke tebing menggunakan bot sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :