SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian kenderaan pengguna dirosakkan kumpulan penunda kereta dan bengkel kenderaan sepanjang musim perayaan ini.

Pengarahnya Azrin Borhan berkata, bagaimanapun pihaknya mengambil serius perkara itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya ia dikesan berlaku.

“Kita ada unit peronda yang meronda menggunakan motosikal dan kenderaan pacuan empat roda bagi menjalankan tugas rondaan di jalan raya setiap masa.

“Dalam rondaan sepanjang musim perayaan ini, kita tidak ada terima kes seperti ini lagi...kita sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk melaporkan perkara itu sekiranya terdapat anggota kita yang mengesan kejadian itu berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Hari Raya JPJ Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Azrin berkata demikian susulan terdapat dakwaan wujudnya kumpulan penunda kereta dan bengkel kenderaan yang berkomplot merosakkan kenderaan pengguna bagi mengaut keuntungan segera.

Perkara itu turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini yang menyifatkan tindakan merosakkan kenderaan pengguna jalan raya sebagai satu jenayah.

Dalam perkembangan lain, Azrin berkata sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2017 yang diadakan seminggu sebelum dan selepas raya, sebanyak 2,759 kenderaan diperiksa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,831 kes berjaya dikesan dan diambil tindakan. Bagaimanapun jumlah kesalahan yang dikesan itu berkurangan berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 2,707 kes.

“Kita percaya penurunan ini disebabkan jumlah anggota yang meronda ramai dan rondaan yang lebih kerap...disebabkan itu kita percaya orang ramai lebih berhati-hati apabila mereka nampak ada penguat kuasa,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - "Tiada lesen memandu merupakan kesalahan utama dilakukan pengguna jalan raya yang dikesan sepanjang Ops Tahun Baharu Cina 2018," kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.
  • KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan penguatkuasanya mengarahkan beberapa pemandu lori menanggalkan pakaian seperti yang tular di laman sosial.
  • PUTRAJAYA - Sebarang ugutan dan ancaman tidak akan melemahkan serta melunturkan semangat pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan dan siasatan, kata ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid.
  • ALOR GAJAH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Jawatankuasa Pelesenan Institusi Memandu (JKPIM) akan sentiasa memantau isu harga lesen memandu yang ditetapkan institut memandu di negara ini.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 21,613 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan dalam Ops Patuh yang dijalankan di seluruh negara bagi tempoh Januari sehingga 30 Disember 2017.