KUANTAN - Polis kini memburu dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian rogol dan samun di Kampung Gemunchor, Kuala Lipis, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata seorang daripada suspek merupakan jiran kepada mangsa.

"Rumah suspek yang berusia 30 tahun itu terletak tidak jauh dari rumah mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Mengulas kejadian pukul 10 malam itu, dua lelaki bersenjatakan parang menceroboh masuk ke rumah mangsa melalui pintu belakang yang tidak berkunci.

"Ketika berada dalam rumah mangsa, dua lelaki terbabit telah mengacukan parang dan memukul ibu mangsa sebelum mengikatnya dengan tali.

"Selepas mengikat suri rumah berusia 40 itu, iaitu ibu kepada mangsa, dua lelaki terbabit kemudian menarik mangsa yang berada di ruang tamu dan dibawa ke bilik air sebelum merogolnya," katanya.

Abdul Razak berkata selain merogol mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima, dua lelaki terbabit turut merampas gelang tangan ibu mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu atau mengenali suspek agar tampil di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Lipis bagi membantu siasatan.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Dua lelaki tidak sempat menikmati hasil samun apabila kereta dipandu mereka terbabas ke dalam parit, kelmarin.
  • KUANTAN - Sebanyak 35 kes samun kedai serbaneka 24 jam dilaporkan berlaku di seluruh negeri dalam tempoh 10 bulan tahun ini bagaimanapun 24 kes atau 70.6 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.