SEPANG - Jenazah Allahyarhamah Syzlin Hataman, mangsa kepada sindiket pengedaran dadah antarabangsa di Peru telah selamat tiba di tanah air, kira-kira jam 2.30 petang hari ini.

Setiausaha Operasi Biro Kebajikan Umno (Bikum), Awie Shoubli Jamal berkata, jenazah tiba di Malaysia setelah mengharungi perjalanan lebih dua hari dari Lima, Peru ke pusat kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki pesawat KL744.

“Alhamdulillah, jenazah Allahyarhamah yang meninggal dunia di Nacional Dos De Mayo Health Facility, Peru telah disolatkan Association Islamica Del Peru.

“Proses dokumentasi untuk membawa pulang jenazah dari Peru ke Malaysia juga dipermudahkan apabila ia selesai dalam tempoh seminggu, berbanding dua minggu sebelum ini yang dimaklumkan kepada kami,” katanya semasa sidang media selepas menerima jenazah di pusat kargo KLIA.

Menurutnya, jenazah dijangka tiba di Johor Bahru hari ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bahru pada hari yang sama.

Katanya, Bikum berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membawa jenazah pulang ke Malaysia, terutama sekali Kementerian Luar Negeri, sekali gus berjaya menunaikan hasrat arwah untuk kembali ke tanah air, walaupun dalam keadaan bukan sebagaimana yang ahli keluarganya inginkan.

“Bikum kini sedang berusaha untuk membawa pulang dua lagi mangsa sindiket dadah antarabangsa, Suzana dan Azimah yang juga terkandas sekian lama di Peru.

“Proses membawa balik mereka sedang dijalankan dan dijangka mereka mungkin boleh dibawa pulang selewat-lewatnya awal Disember. Kami akan memaklumkan segala perkembangan dari semasa,” ujarnya.

Allahyarhamah Syzlin, 43, meninggal dunia pada 8 Oktober lalu kerana komplikasi beberapa penyakit.

Akibat menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa, Allahyarhamah telah dipenjarakan selama empat tahun di Peru.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Keluarga mangsa sindiket dadah, Allahyarham Shyzlin Hathaman, 43 sebak dan sayu ketika menatap kali terakhir wajah jenazah yang tiba di Masjid Tun Hussein Onn, Larkin, di sini kira-kira jam 8.10 malam tadi, sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh.
  • KUALA LUMPUR - Polis merampas dadah disyaki kokain seberat 4.8 kilogram bernilai kira-kira RM1.2 juta dan menahan lelaki warga Argentina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada Isnin lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.