KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri memfailkan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan enam yang lain berhubung serbuan dan tangkapan khalwat yang didakwa dilakukan secara salah ke atas mereka bulan lepas.

Mohd Ridhuan Giman, 34 dan isterinya Siti Sarah Maulad Abdullah, 26, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan pegawai penguakuasa Jawi, Mohd Shiham Ramli dan Mohammad Izehar Md Amin, Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi, Ketua Pengarahnya, Jawi, Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga ketujuh.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan, Mohd Ridhuan dan Siti Sarah berkata, mereka bernikah pada 17 Oktober 2014 di Kuala Lumpur dan pernikahan itu didaftarkan mengikut Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Menurutnya pada atau kira-kira jam 1.30 pagi, 8 Januari lalu, plaintif berkata defendan pertama dan kedua serta enam lagi pegawai penguatkuasa Jawi membuat serbuan di sebuah bilik hotel bajet tempat mereka menginap.

Plaintif pertama mendakwa, pegawai serbuan meluru ke dalam bilik sebelum dapat membaca dengan jelas kad kuasa mereka walaupun sudah dimaklumkan isterinya berada di dalam bilik tanpa berpakaian lengkap.

Dakwa plaintif, pegawai lelaki itu melihat isterinya yang berpakaian tidak lengkap, serta mengambil gambar serta video, menyebabkan berlaku pergelutan antara beliau (suami) dan pegawai serbuan.

"Walaupun sudah ditunjukkan foto sijil nikah dan gambar perkahwinan yang tersimpan dalam telefon bimbitnya (plaintif pertama) sebagai bukti sah status perkahwinan, pegawai serbuan enggan menerima pakai bukti itu dan berkeras hendak menahan kami," katanya.

Dakwa plaintif, mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tun H S Lee bagi laporan tangkapan atas dakwaan berkhalwat sebelum dibawa ke pejabat Jawi.

Mereka kemudian mendakwa dibebaskan selepas ibu kepada plaintif pertama menandatangani Bon Diri bagi menjamin kehadiran untuk siasatan lanjut.

Sehubungn itu mereka menuntut perisytiharan bahawa tangkapan tersebut dilakukan secara salah, tidak sah dan bertentangan Perlembagaan Persekutuan serta Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Mereka juga menuntut perisytiharan tangkapan dan serbuan itu menceroboh privasi serta salah guna kuasa, selain menuntut ganti rugi.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.