KUALA LUMPUR - Polis mengingatkan orang ramai untuk tidak membeli, menjual,  memiliki atau bermain mercun atau bunga api ketika sambutan Tahun Baharu Cina pada 16 Februari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia Datuk Asmawati Ahmad berkata ini kerana larangan terhadap mercun atau bunga api masih lagi berkuat kuasa.

Katanya, hanya bunga api jenis 'Pop-Pop’ dan 'Happy Boom' sahaja dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan membakar yang boleh membahayakan keselamatan.

"Bagaimanapun, penjualan kedua-dua jenis mercun ini masih memerlukan permit daripada Ibu Pejabat Polis Daerah yang berkaitan dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asmawati berkata individu yang memiliki, menjual, membeli dan bermain sebarang mercun atau bunga api boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

"Bermain atau membakar mercun yang dilarang juga boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi  satu bulan atau didenda sehingga RM100 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Selain itu, beliau berkata mana-mana pihak yang didapati mengilang, memiliki atau mengimport mercun  tanpa permit boleh didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957, jika sabit kesalahan boleh  dihukum penjara selama lima tahun atau denda RM10,000.

"Polis berharap agar larangan ini dapat dipatuhi oleh semua pihak demi mengelak daripada berlakunya kecederaan dan kematian serta punca kebakaran yang boleh memusnahkan harta benda," kata Asmawati. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Deretan gerai menjual mercun di Jalan Mergastua, Kepong, di sini, terbakar dalam kejadian kira-kira jam 11 malam tadi.
  • KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga kakitangan sebuah pasar raya di Cheras yang menjual mercun sempena Tahun Baharu Cina kepada pelanggannya, malam tadi.
  • KUALA LUMPUR - Tiga individu cedera akibat terkena serpihan mercun jenis ‘Air Bomb’ yang dipercayai dibaling sekumpulan mat rempit di Gereja Luther Centre, Jalan Utara, Petaling Jaya tengah malam tadi.
  • KUCHING - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim hari ini melahirkan kekesalan atas kematian seorang kanak-kanak akibat bermain mercun di sini baru-baru ini dan mahu tindakan tegas diambil terhadap yang berkenaan.