• Jambatan runtuh: 4 dipercayai maut Suasana sekitar lokasi kejadian di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang.
1 /

GEORGETOWN - Jabatan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (Dosh) menjangkakan siasatan berhubung insiden runtuhan tanjak jambatan kedua di Batu Maung selesai dalam tempoh sebulan.

Pengarah Dosh Pulau Pinang Mohd Anuar Embi berkata pihaknya akan memanggil kontraktor terlibat secepat mungkin dan menjalankan siasatan dari segala aspek.

"Kita telah membuat siasatan bermula Khamis lepas melibatkan 13 anggota termasuk lima dari Jabatan Forensik Pulau Pinang dan Putrajaya untuk mengenal pasti punca keruntuhan struktur itu," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah mengumpulkan kira-kira 10 peratus data berkaitan insiden itu.

Katanya fokus siasatan akan meneliti reka bentuk struktur binaan, cara serta kaedah pemasangan, penyeliaan pekerja, faktor tanah dan sistem keselamatan yang digunakan untuk melihat sama ada berlaku pelanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Sekiranya terdapat pelanggaran akta itu tindakan undang-undang akan diambil kepada pihak berkenaan," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan supaya kerja-kerja pembersihan dihentikan sementara waktu sehingga siasatan selesai sepenuhnya.

Beliau turut menggesa kontraktor yang terlibat dalam kerja pembinaan struktur seumpama itu agar melakukan pemantauan di tapak projek mereka dan memastikan kawasan persekitaran selamat kepada orang ramai untuk mengelak tragedi sedemikian berulang.

Pihak polis dan bomba telah menamatkan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 6 petang semalam dan menyerahkan lokasi runtuhan kepada Dosh.

Dalam kejadian 6.40 petang Khamis lepas, tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan di Lebuhraya Tun Dr  Lim Chong Eu di sini runtuh, mengakibatkan seorang terbunuh dan tiga lagi cedera.

Mayat Tajudin Zainal Abidin, 45, yang terperangkap di dalam kereta jenis Perodua Kelisa di bawah runtuhan itu berjaya  dikeluarkan kira-kira 8.45 malam Jumaat.

Kejadian itu turut mengakibatkan tiga orang mengalami kecederaan. Dua daripada mereka ialah pekerja asing iaitu Slamat, 36 dari Indonesia dan warga Myanmar Tin Maung Iwin, 39.

Seorang lagi yang dilaporkan cedera ialah wanita tempatan, Thilasheni Rajendran, 24, akibat terkena serpihan runtuhan di bahagian tangan. - Bernama