KOTA TINGGI - Pihak pengurusan madrasah tahfiz yang dikaitkan dengan kes pukul pelajar lelaki menggunakan getah paip di sini tidak akan menyorokkan apa-apa maklumat dan sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Perkara itu dimaklumkan sendiri pengetuanya yang memberitahu kejadian yang berlaku itu merupakan atas tindakan individu dan bukan madrasah.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan bekas pembantu warden itu juga sudah melebihi batas dan melanggari dasar yang ditetapkan di madrasah tersebut.

"Madrasah ini tempat mendidik manusia, anak-anak yang datang sini diajar untuk menjadi baik. Selaras dengan dasar kami yang mahu mendidik mereka dengan kasih sayang.

"Apabila berlaku kejadian seperti ini ia merupakan hal individu dan dalam hal ini dasar kita tidak diikuti. Pihak madrasah tidak akan menyorokkan apa-apa maklumat kerana keutamaan madrasah ada pelajar kita," katanya ketika ditemui di madrasah berkenaan, hari ini.

Tambahnya, sebagai sebuah madrasah yang diiktiraf cemerlang di daerah ini dan akan mewakili peringkat negeri bagi pengiktirafan tersebut, pihaknya tidak sesekali bertolak ansur dan berlapang dada apabila berlakunya perkara seperti itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Mama abang takut kena rotan']

Katanya, kejadian yang berlaku juga dianggap sebagai satu ujian dan dugaan buat madrasah berkenaan.

Dalam pada itu beliau juga memaklumkan, pihak madrasah juga sudah dilawati oleh pegawai penyiasat, jabatan agama dan pelbagai pihak dan mereka sedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya.

Pihaknya juga sedia menyerahkan rakaman litar tertutup (CCTV) kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Beliau memaklumkan sebanyak 24 CCTV dipasang di sekitar kawasan asrama dan sekolah termasuklah dewan makan, gelanggang futsal sekali gus hampir tiada kawasan 'blind spot' yang tidak dapat dirakam di madrasah berkenaan.

Jelasnya, pembantu warden berkenaan yang baru bekerja setahun berperanan membantu seorang warden di madrasah berkenaan terutamanya apabila berlaku hal kecemasan pada waktu malam.

"Kami harap madrasah ini akan diberi ruang kerana di sini kita bukan sekadar menjaga anak-anak, ibu bapa penjaga malahan hati masyarakat disini juga.

"Kita tidak mahu persepsi negatif terkesan kepada nama baik kampung. Tambahan pula madrasah ini berdiri atas niat baik umat islam. Insha-ALLAH dalam masa terdekat ini kita akan adakan sidang media selepas laporan penuh dari pihak polis dan hospital diterima," katanya lagi.

Madrasah yang sudah tujuh tahun beroperasi mempunyai seramai 110 pelajar berusia 11 hingga 17 tahun dengan jumlah kakitangan seramai 15 orang termasuklah enam orang guru.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki direman bantu siasatan kes pukul pelajar]

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - [VIDEO] “Kalau boleh saya hendak jumpa mak,” demikian ujar seorang pemotong rumput dalam rayuannya ketika prosiding berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini.
  • MELAKA - Polis tidak menolak kemungkinan dakwaan kematian seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, M. Anurasalam yang tular dalam media sosial sejak awal bulan ini dipercayai dipukul kerana mencuri wang milik datuknya.
  • IPOH - Polis sedang menyiasat kes seorang Adun daripada parti pembangkang yang didakwa memukul seorang wanita hujung bulan lepas, kata Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby.
  • KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan memohon supaya kes 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menyebabkan cedera terhadap rakan seuniversiti mereka, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain dipindah dan dibicarakan bersama dengan kes bunuh Zulfarhan Osman di Mahkamah Tinggi.
  • KUALA LUMPUR - Akibat mencederakan seorang pengurus kedai aiskrim dengan cara menendang muka, seorang pemandu GrabCar didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.