PETALING JAYA - "Saya ingat hanya latihan kebakaran, jadi semua yang berada di tingkat bawah keluar bangunan dengan berjalan macam biasa. Tak sangka bila berada di luar bangunan api dah marak hingga ke tingkat atas," kata Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Kerja (KWSP), P Saraswathy.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika kakitangan KWSP sibuk berurusan dengan ahli dan pengunjung agensi itu di aras bawah bangunan tersebut.

"Mula-mula kita tak tahu apa yang berlaku, sebaik dapat amaran panggilan kebakaran, semua kakitangan dan ahli KWSP keluar dari bangunan.

"Kami keluar dari bangunan berjalan macam biasa sebab ingat ia hanya latihan kebakaran,  Tak sangka kebakaran benar-benar berlaku dan api besar sekali," katanya tahun lepas hampir tiga kali latihan kebakaran dilaksanakan pihak pengurusan di bangunan tersebut.

Tambahnya, ketika kejadian terdapat kira-kira 20 pengunjung dalam bangunan di tingkat bawah.

"Nasib tak ada kemalangan jiwa, semuanya berjaya keluar dengan selamat," katanya lagi.

Pegawai kerani KWSP, Nor Liyana Ramli berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi menyebabkan sebahagian kakitangan panik seketika.

Dia memberitahu tidak mendengar apa-apa bunyi ketika berada di aras bawah namun apabila diarahkan keluar, semua yang berada dalam bangunan mengikut arahan seperti biasa.

"Tiba-tiba saja asap penuh dalam bangunan, waktu tu panik juga sebab ada yang tertinggal beg dan sebagainya tapi sebab fikir nyawa kami keluar dulu.

"Bila berada di luar bangunan  barulah dengar dua kali bunyi letupan, asap penuh dalam bangunan dan saya nampak kereta yang diletakkan di bawah meletup..memang rasa cuak sangat masa tu sebab tak sangka benda ni berlaku," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia berasa lega apabila dimaklumkan kesemua kakitangan dan pengunjung terselamat.

"Alhamdulillah kejadian dapat dikawal, semua dapat keluar dengan selamat dan ia disahkan menerusi kedatangan diambil," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - "Sedih sangat sebab hari ni adalah hari pertama saya bawa kereta ke pejabat, tak sangka jadi begini pula," kata kerani bahagian pengeluaran KWSP, Mohd Riduan Mat Rosli, 29, ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
  • KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengesahkan kerosakan disebabkan kebakaran di cawangannya di Petaling Jaya hari ini hanya di bahagian luar bangunan itu dan beberapa buah kereta yang diletakkan berhampiran.