SHAH ALAM - Hasrat seorang anggota polis berpangkat sarjan untuk dibebaskan daripada hukuman penjara lapan tahun dan denda RM10,000 tidak kesampaian apabila mahkamah menolak permohonan rayuannya sekali gus mengekalkan hukuman itu.

Sarjan Mohd Faridzuddin Hamzah, 27 dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Serdang sebelum ini disabitkan dengan dua kesalahan memperoleh suapan RM1,000 bagi menyelesaikan kes dadah.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ghazali Cha dalam ringkasan penghakimannya berkata, keputusan yang dibuat oleh hakim mahkamah sesyen adalah tepat.

"Mahkamah ini tidak bercadang untuk meminda keputusan itu," katanya.

Ghazali bagaimanapun membenarkan permohonan lelaki itu untuk penangguhan perlaksanaan hukuman pemenjaraan dan wang jaminan dinaikkan sehingga RM25,000.

Terdahulu peguam, Salim Bashir yang mewakilinya membuat permohonan penangguhan itu atas alasan akan mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Rayuan.

"Pihak kami akan mengemukakan isu perundangan dalam kes ini ke mahkamah rayuan," katanya.

Pada 20 Julai 2016, mahkamah sesyen menjatuhkan hukuman penjara bagi setiap pertuduhan dan ianya berjalan serentak.

Berdasarkan pertuduhan, dia bersalah menerima RM500 di IPD tersebut jam 8.15 malam pada 5 Mac 2014.

Dia juga disabitkan dengan pertuduhan kedua menerima RM500 di sebuah restoran di Sri Petaling, jam 9.20 pagi pada 1 April 2014.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nur Laila Mohamed Nazil.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Batu Tian Chua akan menjalani hukuman penjara sebulan seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen kerana tidak mematuhi arahan polis.
  • KUALA LUMPUR - Dua banduan, yang masing-masing sedang menjalani hukuman penjara 10 bulan dan sebulan, hari ini dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan empat bulan lagi oleh Mahkamah Majistret di sini.
  • PETALING JAYA - Akibat mencari pelanggan untuk khidmat seks, dua pelayan pelanggan (GRO) warga asing masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Seorang tukang masak dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam selepas mengaku bersalah dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh, tahun lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.