KELANA JAYA - Jabatan Imigresen telah mengusir pulang seramai 38,880 pendatang asing tanpa izin (Pati) sejak 1 Januari lalu hingga Ahad lepas.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali.

Menurutnya, jumlah Pati yang paling ramai diusir adalah dari negara Indonesia, kemudian Bangladesh, Myanmar dan disusuli Nepal.

"Sektor yang menjadi pilihan utama warga asing adalah pembinaan dan perkhidmatan selain perkilangan serta pertanian.

"Dalam operasi-operasi yang kita jalankan seperti Ops Mega, kita sentiasa berbincang dengan pihak kedutaan negara terlibat bagi memberi peringatan tentang warga mereka yang berada di dalam negara secara tidak sah," katanya dalam sidang media selepas Dialog dan Seminar Isu-Isu Semasa Imigresen dan Penggajian Pekerja Asing di Jabatan Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang proses pengusiran yang dilakukan ini, pihaknya menerima kerjasama baik dari pihak kedutaan.

Dalam pada itu, sejak tempoh permohonan kad sementara 'Enforcement Card' (E-Kad) ditutup pada 30 Jun lalu, lebih 13,000 Pati telah ditahan dalam Ops Mega E-Kad.

Katanya, selain itu, seramai 312 majikan telah ditahan kerana masih berdegil tidak mematuhi undang-undang dalam soal menggaji pekerja asing.

"Kita tidak kompromi dengan isu ini dan untuk rekod,  90 kes membabitkan majikan ini telah dibawa ke mahkamah," katanya.

Sementara itu mengulas berhubung sistem pembaharuan pasport yang tergendala sehingga tiga jam pada hari ini, Mustafar mengesahkan perkara itu.

"Sistem ini sudah diwarisi sejak 20 tahun lalu dan imigresen kini dalam proses untuk menaik taraf sistem berkenaan. Kita minta orang ramai bersabar jika terjadi masalah sedemikian kerana pegawai kita sudah berusaha sebaik mungkin untuk memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUTTERWORTH - Jabatan Imigresen Malaysia akan mendapatkan maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi penguat kuasa lain berhubung pesta gay yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur hujung bulan ini.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain bagi mengesan dan memastikan individu-individu atau penganjur berkaitan pesta gay yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 30 Sept ini, tidak menjejakkan kaki mereka ke negara ini.
  • SHAH ALAM - Isu petempatan haram yang didiami warga asing tanpa izin menuntut kerjasama pelbagai agensi khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diselesaikan, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali.
  • KUALA LUMPUR - Seramai 5,173 individu ditahan dalam Ops Mega E-Kad yang dijalankan sejak 1 Julai lalu hingga hari ini.